KLANG, 17 Mac 2025 – Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas keluar memancing di kawasan bawah Jambatan Muhibbah, Klang, berhampiran Pulau Indah pada pagi semalam.
Mangsa, Mior Mohamad Ikhmal Mohd Anua, 26, yang bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan di Malaysia Airlines (MAS) dalam bahagian Amal, dipercayai keluar dari rumah sekitar jam 7.50 pagi untuk memancing di lokasi berkenaan.
Kali terakhir dia membuat kemas kini di media sosial adalah ketika berada di bawah jambatan tersebut.


Mangsa dipercayai terjatuh sekitar jam 11.30 pagi sebelum dibawa arus deras.
Menurut rakan mangsa, Helmy Ikram kepada Mynewshub, kejadian itu disaksikan beberapa orang awam namun mereka tidak sempat berbuat apa-apa untuk membantu.
Menurut Helmy, rakannya itu yang berasal dari Manjung, Perak merupakan anak tunggal keluarganya.
“Minta warganet doakan semoga kawan saya dipertemukan,” katanya kepada Mynewshub.
Sehingga kini, usaha mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa bersama sukarelawan tempatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat keberadaan mangsa diminta menghubungi pihak berkuasa terdekat.

Mynewshub-