Ipoh: Tindakan dua lelaki yang dipercayai mahu mencuri kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Persiaran Rishah 27, Taman Silibin Ria, di sini semalam berakhir tragedi apabila mereka direnjat elektrik sehingga seorang daripadanya meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, maklumat pertama kejadian diterima daripada orang awam pada 6.07 petang.
Katanya, dalam maklumat awal, kedua-dua suspek terkena renjatan elektrik dan pengsan selepas mencuri kabel itu, namun seorang daripadanya sempat sedar dan melarikan diri.
Katanya, terdapat saksi awam yang melihat dan membuat rakaman di tempat kejadian, yang memperlihatkan kedua-duanya memotong kabel TNB sebelum ia tiba-tiba meletup.
“Letupan menyebabkan mereka pengsan. Seorang suspek yang tersedar kemudian melarikan diri dengan menunggang motosikal jenis Honda C100. Seorang lagi meninggal dunia.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Pihak TNB juga sudah membuat satu laporan polis mengenai kecurian kabel berkenaan dan satu kertas siasatan selari dibuka mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abang Zainal Abidin berkata, semakan mendapati suspek yang meninggal dunia mempunyai 10 rekod lampau berkaitan jenayah kekerasan dan harta benda.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian untuk tampil membantu siasatan.
Terdahulu, video mengenai kejadian tular di media sosial, dengan seorang suspek kelihatan terbaring berhampiran longkang di taman perumahan berkenaan.
-Harian Metro