KUANTAN: Seorang mekanik maut, manakala rakan parah selepas motosikal Yamaha RXZ ditunggang mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 211, Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) (arah Sri Jaya-Gambang), di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, Irwan Kamarol Hisham Mohammad Sharani, 42, dari Balok di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, rakannya berusia 32 tahun dari Beserah kini menerima rawatan di sebuah hospital swasta, di sini.
“Berdasarkan laporan, mangsa bersama rakannya yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ dalam perjalanan pulang selepas berbuka puasa di Temerloh.
“Setiba di tempat kejadian, ketika sedang bergerak lurus, tiba-tiba motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan dan mangsa terjatuh ke penghadang bahu jalan manakala motosikal berada di tengah jalan.
“Pada masa sama, rakan mangsa dari belakang tidak sempat mengelak lalu terlanggar motosikal mangsa.
“Akibat kemalangan itu, Irwan Kamarol Hisham maut di tempat kejadian manakala rakannya cedera parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Mohd Zahari berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
BHonline-