TEMERLOH – Seorang lelaki mendakwa gersang kerana 13 tahun tidak bersama wanita akibat HIV positif ditahan pada Rabu selepas mencabul beberapa pengunjung wanita di Bazar Ramadan Lurah Semantan di sini.
Klip video yang memaparkan aksi lelaki itu tular di aplikasi sosial TikTok pada Selasa yang dilihat sengaja melanggar pengunjung wanita di bazar tersebut.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, lelaki berusia 41 tahun itu berjaya ditahan oleh orang awam di bazar tersebut sebelum dimaklumkan kepada pihak polis.
Menurutnya, tiga wanita telah tampil membuat laporan polis kerana dicabul suspek di tapak bazar terbabit.
“Tiga mangsa yang membual laporan polis hadir membuat laporan setelah klip video yang memaparkan perlakuan suspek mencabul pengunjung wanita di tapak bazar tersebut menjadi tular di media sosial TikTok setelah ianya dimuat naik oleh pemilik akaun TikTok yang dikenali sebagai @zackrazbundle.
“Mangsa pertama berusia 26 tahun melaporkan telah dicabul oleh suspek pada 6 Mac manakala mangsa kedua berusia dan ketiga, masing-masing berusia 23 dan 27 tahun pula pada Isnin lalu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ujarnya, kesemua mangsa menyatakan dicabul semasa sedang berjalan kaki bagi membeli juadah berbuka, suspek secara kasar telah melanggar badan dengan sengaja seterusnya menyentuh dada dan punggung mereka menggunakan tangan.
Jelas Mazlan, saksi awam iaitu pemilik akaun TikTok bernama @zackrazbubdle telah merakam perlakuan suspek dan memuat naik ke TikTok.
“Suspek mengakui terlibat dalam kes yang disiasat dan memberikan alasan sudah lama tidak bersama wanita selepas menghidap HIV positif sejak 13 tahun lalu.
“Modus operandi adalah berjalan kaki dan dengan sengaja melanggar badan mangsa serta menyentuh bahagian badan,” tambah beliau.
Katanya, suspek memiliki lima rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Jelasnya, kes diklasifikasi di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut dijalankan.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang berkerjasama memberi maklumat dan membantu pihak polis dalam menbanteras kes jenayah.
-Sinar Harian