Johor Bahru: Polis sudah mengambil keterangan lelaki yang didakwa menampar seorang murid Tahun Satu sehingga terhantuk di dinding baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan pihaknya mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Lelaki berkenaan sudah memberi keterangan. Kita akan rujuk kertas siasatan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, jurucakap pusat perlindungan berkata, kanak-kanak lelaki tujuh tahun berkenaan sudah dibenarkan pulang ke rumah malam tadi selepas dua hari menerima rawatan di hospital.
“Kesakitan dialami sudah berkurangan namun kami tidak pasti sama ada dia masih trauma ketika ke sekolah,” katanya.
Pada 20 Mac lalu, akhbar ini melaporkan kejadian menimpa seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang juga merupakan penghuni sebuah pusat perlindungan di bandar raya ini.
Mangsa didakwa dipukul dan ditampar dua kali sehingga kepalanya terhantuk di dinding dalam kejadian di sebuah sekolah di Jalan Abdul Rahman Andak di sini.
Kejadian itu dipercayai dilakukan seorang lelaki dewasa yang juga merupakan bapa kepada seorang murid di sekolah terbabit.
-Harian Metro