Shah Alam: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima serahan zakat perniagaan untuk Lembaga Zakat Selangor (LZS) daripada Syarikat Pintas Utama sebanyak RM3 juta.
Pengerusi Eksekutif Pintas Utama, Tan Sri Ir. Zainudin Karjan telah menyerahkan zakat bagi tahun kewangan 2024 itu kepada baginda pada satu upacara di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, di sini.
Upacara penyerahan tersebut diadakan bersempena Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor Bersama Rakyat dan Sumbangan Hari Raya Aidilfitri.
Pada majlis itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menunaikan solat fardu Maghrib, Isyak dan solat sunat tarawih secara berjemaah.
Pintas Utama adalah sebuah syarikat kejuruteraan awam dan pembinaan cerun.
Tan Sri Ir Zainudin berkata, sumbangan zakat itu adalah bagi membantu asnaf dan golongan yang memerlukan selaras dengan agenda pembangunan ummah.
Menurut beliau, Pintas Utama akan terus menjalankan inisiatif atas keprihatinan bagi menyumbang semula kepada pembangunan sosioekonomi khususnya di Selangor.
“Seperti yang kita semua maklum, zakat merupakan rukun Islam keempat dan telah difardhukan kepada umat Islam’” katanya.
-Mynewshub