Kuala Terengganu: Lelaki yang ditembak mati di Besut pagi semalam dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah di negeri ini dan Kelantan.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, ia berdasarkan penemuan dadah jenis pil kuda seberat 205.81 gram dan syabu seberat 82.5 gram bernilai RM29,000 di dalam kenderaan pacuan empat roda dipandu suspek berusia 31 tahun itu.
Menurutnya, suspek yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan adalah individu yang dikehendaki polis selepas terbabit kes samun bersenjata api pada 2023.
“Ketika kejadian pada 2.20 pagi itu, suspek dipercayai dalam perjalanan menghala ke Kelantan sebelum terserempak dengan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang sedang melaksanakan Operasi Laras (Op Laras).
“Dalam kejadian itu, suspek melepaskan tiga das tembakan. Kita turut menemui empat peluru hidup dan tiga kelongsong peiuru di lantai kenderaan berkenaan.
“Siasatan juga mendapati juga kenderaan suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini, hari ini.
Mohd Khairi berkata, suspek mempunyai tujuh rekod jenayah lampau iaitu dadah, ugutan jenayah, pecah rumah dan curi serta samun menggunakan senjata api.
Katanya, pihaknya merampas sepucuk pistol dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Khairi turut menasihatkan orang awam untuk tidak menyebarkan sebarang berita yang tidak benar berhubung kejadian terbabit yang boleh mengganggu siasatan.
Katanya, mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat boleh berhubung pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Effie Ezral Mohd Izham di talian 014-8052884 atau mana-mana balai polis berhampiran.
-Harian Metro