PUTRAJAYA: Kerajaan MADANI hari ini mengumumkan pemberian rebat RAHMAH tambahan kuota data minimum 5GB (gigabit) kepada semua pengguna perkhidmatan telekomunikasi pascabayar dan prabayar warga Malaysia pada hari pertama Aidilfitri ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata kos tambahan kuota itu ditanggung sepenuhnya oleh syarikat telekomunikasi.
“Ini adalah insentif kali pertama diperkenalkan khususnya Kementerian Komunikasi iaitu tambahan kuota data minimum 5GB kepada semua pengguna pascabayar dan prabayar, warga Malaysia.
“Tambahan kuota data ini sah bagi tempoh 24 jam, tertakluk kepada terma dan syarat penawaran syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.
Fahmi yang juga Jurucakap kerajaan Perpaduan berkata, usaha Kementerian Komunikasi dengan kerjasama strategik syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi itu sejajar dengan hasrat Kerajaan MADANI menitikberatkan nilai ihsan kepada rakyat.
Ia juga penting dalam mengeratkan silaturahim menerusi komunikasi dalam talian sempena sambutan Aidilfitri.
“Insentif ini dijangka memberi manfaat kepada sekitar 45 juta pemegang akaun berdaftar di negara ini,” katanya.
Maklumat lanjut mengenai insentif rebat RAHMAH Aidilfitri akan diumumkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
Senarai soalan lazim (FAQ) boleh dirujuk di laman sesawang Kementerian Komunikasi menerusi pautan https://www.komunikasi.gov.my/en/awam/faq.
BHonline-