SEOUL: Sekurang-kurangnya 15 orang awam cedera pada Khamis selepas sebuah Jet pejuang Korea Selatan secara tidak sengaja menggugurkan 8 bom di kawasan penempatan awam.
Peluru yang tersasar semasa latihan ketenteraan menggunakan peluru hidup itu jatuh di kawasan penempatan awam, merosakkan beberapa rumah serta sebuah gereja, di Pocheon, Korea Selatan.
“Kami amat kesal dengan kejadian yang tidak disengajakan, hingga mengakibatkan kematian orang awam, dan berharap mereka yang cedera segera pulih,” kata Tentera Udara Korea Selatan dalam satu kenyataan.
Pihak tentera juga menubuhkan jawatankuasa tindak balas kemalangan untuk siasatan lanjut susulan kejadian itu dan memaklumkan akan ‘mengambil semua langkah perlu’, termasuk pampasan bagi sebarang kerosakan.
Difahamkan, berlaku kesilapan semasa melepaskan lapan bom jenis MK-82 seberat 500 paun atau 225 kilogram (kg) dari pesawat KF-16 tentera udara Korea Selatan, menyebabkannya tersasar di luar daripada lokasi yang ditetapkan.
Menurut Pegawai Perkhidmatan Bomba Gyeonggi-do Bukbu, empat daripada lapan mangsa mengalami kecederaan serius.
Pihak bomba mengesyaki peluru yang tersasar dan jatuh di kawasan bandar itu adalah daripada lathan ketenteraan bersama yang sedang berlangsung antara Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS).
“Jet pejuang mungkin tersilap melepaskan tembakan semasa latihan yang dilakukan,” katanya.
Pocheon terletak kira-kira 40 kilometer (km) di timur laut Seoul dan berdekatan dengan sempadan yang dipenuhi kawalan ketat antara Korea Selatan dan Korea Utara iaitu hanya kira-kira 25km.
Kementerian Pertahanan Korea Selatan masih belum memberikan sebarang kenyataan mengenai insiden itu.
Terdahulu, kementerian mengatakan pasukan Korea Selatan dan AS sedang menjalankan latihan ketenteraan bersama menggunakan peluru hidup, yang berkaitan dengan latihan ketenteraan tahunan ‘Freedom Shield’ yang dijadualkan bermula minggu depan.
BHonline-