KUALA TERENGGANU: Usahawan hartanah yang dikenali sebagai ‘Jutawan Sampah’, Datuk Azlan Al Amin menang kes saman tuntutan wang pampasan hasil jualan hartanah milik seorang pesara guru, Ramli Hassan yang telah meninggal dunia berjumlah RM590,000.
Tuntutan itu difailkan oleh anak simati, Shahruldi Mahafiz Ramli selaku plaintif yang mendakwa Azlan telah menerima wang tersebut secara salah disisi undang-undang dan ekuiti.
Hakim Mahkamah Sesyen Besut, Ahmad Fadhli Mahmud memutuskan waris si mati tidak mempunyai sebarang hak disisi undang-undang untuk menuntut terhadap defendan bagi menuntut wang hasil jualan tersebut.
Hal ini adalah kerana di dalam Surat Pentadbir Harta Pusaka simati, tidak ada dinyatakan bahawa wang hasil jualan dua lot hartanah tersebut adalah merupakan harta simati.
Dalam alasan ringkasnya, Ahmad Fadhli berkata plaintif tidak berhak untuk menuntut wang hasil jualan tersebut kerana wang hasil jualan tersebut merupakan balasan bagi suatu lagi jualbeli hartanah lain yang melibatkan defendan dengan simati, di mana dalam transaksi tersebut plaintif tidak terlibat.
Selain itu, Hakim itu juga menyatakan defendan berhak untuk menerima wang hasil jualan tersebut kerana wang hasil jualan tersebut telah diserahkan melalui proses yang sah oleh peguam yang mengendalikan transaksi urusan jualbeli dua lot hartanah tersebut kepada defendan adalah atas arahan simati sendiri dan terdapatnya suatu surat akuan simati yang mengesahkan wang hasil jualan tersebut hendaklah diserahkan kepada defendan sebagai pertukaran jualan satu hartanah lain milik Datuk Azlan kepada si mati dan simati berakujanji tidak akan membuat apa-apa lagi tuntutan.
Keputusan mahkamah itu sekaligus telah membersihkan nama Azlan yang sebelum ini didakwa menipu dalam urusan jual beli hartanah melibatkan Allahyarham Ramli.
Azlan memberitahu media beliau bersyukur kes itu telah selesai namun masih menunggu keputusan kes saman fitnah seterusnya yang difailkan oleh beliau terhadap Shahruldi Mahafiz dan beberapa individu lain.
“Kes ini berlaku beberapa tahun lepas dan saya serta ahli keluarga saya mengalami buli siber yang teruk.
“Akibat tuduhan dan tohmahan tidak berasas isu tersebut sebelum ini, ramai netizen di luar sana menghina dan memfitnah saya, keluarga, serta pekerja saya yang tidak ada kena mengena pun dalam urusan tersebut’ katanya ketika ditemui di ibu negara.
Azlan berkata beliau akan terus berusaha membersihkan nama dan imejnya sebagai usahawan hartanah sekaligus menepis semua fitnah yang dilemparkan terhadapnya.

Mynewshub-