SHAH ALAM: Polis mengesahkan wanita warga Jepun yang maut dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di Subang Jaya pada Jumaat lalu adalah isteri kepada usahawan dan pempengaruh media sosial, Abd Ridzuan Abdul Mutalib atau lebih dikenali Ridz Okumura.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) tetapi polis akan menyiasat secara keseluruhan perkara ini termasuk dari sudut jenayah.
“Walaupun mati mengejut, siasatan kita sama, kita akan melihat sama ada wujud unsur jenayah, tindakan sendiri atau sebagainya.
“Jika dikesan ada unsur jenayah, baru kita klasifikasikan semula kes ini di bawah kesalahan jenayah.
“Jadi, saya minta orang ramai tidak memberi sebarang komen negatif terhadap kes ini tanpa mengetahui sebarang kesahihan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini.
Pada masa sama, Hussein berkata, pihaknya juga sudah mengambil keterangan Ridz Okumra.
Terdahulu, media melaporkan Ridzuan memaklumkan isterinya sudah pergi selama-lamanya dan meninggalkan beliau serta anak lelakinya, Sky Taizo Okumura.
“Alfatihah buat arwah isteri saya, Akiko Okumura, telah pergi meninggalkan saya dan anak saya selamanya. Alfatihah,” katanya pada laman Instagram.
Pada 28 Februari lalu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat dalam kenyataan berkata, seorang wanita warga Jepun ditemukan maut dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di SS16 Subang Jaya.
Beliau berkata, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati, mangsa adalah seorang wanita warga Jepun, berusia 50-an sudah meninggal dunia, dalam keadaan tertiarap di atas tanah.
Katanya, siasatan awal pada tubuh mangsa dan di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah membabitkan insiden itu.
BHonline-