Kluang: Kegembiraan dua keluarga berhari raya berakhir tragedi selepas seorang peniaga maut, seorang parah dan 13 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 25 Jalan Renggam-Layang Layang di sini.
Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pemandu Honda City Muhammad Amiruddin Kamalruzaman, 29, maut di wad kecemasan Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) akibat parah di muka dan kepala.
Menurutnya, pemandu Honda Stream Farah Ain Abdullah yang dipercayai tidak mempunyai lesen memandu parah di muka dan badan dirawat di HEBHK.
“Kereta pula dipandu Muhammad Amiruddin membawa lima penumpang berusia setahun hingga 60 tahun.
“Kenderan dipandu Farah Ain pula membawa lapan penumpang berusia tiga hingga 21 tahun.
“Siasatan awal mendapati Honda Stream dipandu dari arah Renggam menghala ke Layang-Layang, manakala Honda City dari arah bertentangan.
“Sampai di tempat kejadian, Honda Stream itu dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan menyebabkan Honda City tidak sempat mengelak sebelum kenderaan terbabit bertembung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam Abdul Rahim Razali berkata, pemandu Honda Stream dan pemandu Honda City tersepit di tempat duduk masing-masing akibat kemalangan terbabit.
“Lapan mangsa yang cedera dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba.
“Semua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulans untuk dihantar ke hospital,” katanya.
Menurutnya, seramai 10 anggota dari BBP Renggam dan BBP Layang Layang terbabit dalam operasi menyelamat selesai jam 8.15 malam.
-Harian Metro