BALING – Sekurang-kurangnya empat individu cedera selepas diserang dua ekor anjing yang melarikan diri dari rumah pemiliknya di Taman Desa Bicara, Kuala Ketil pagi tadi.
Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Mansor Zakaria berkata, anjing tersebut adalah milik seorang penduduk tempatan dan dipercayai terlepas dari kandangnya sebelum menyerang orang awam.
Menurutnya, insiden itu berlaku di luar sebuah surau, ketika mangsa secara tiba-tiba diserang oleh haiwan berkenaan.
“Orang ramai yang melihat kejadian cuba menghalau anjing itu, tetapi tidak berjaya sehinggalah pemiliknya tiba untuk mengawal keadaan dan menuntut semula haiwan terbabit,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Kejadian itu menimbulkan kebimbangan penduduk setempat, yang kemudiannya bersemuka dengan pemilik anjing tersebut bagi mendapatkan penjelasan.
Mansor berkata, pihak berkuasa telah dimaklumkan mengenai insiden terbabit dan akan mengambil tindakan lanjut bagi memastikan kejadian serupa tidak berulang pada masa akan datang.
Penduduk sekitar juga berharap agar kawalan terhadap haiwan peliharaan lebih diperketatkan bagi mengelakkan risiko keselamatan kepada orang awam.
-Sinar Harian