KUALA LUMPUR: Harga kawalan maksimum benih padi sah (BPS) akan diselaraskan kepada RM52 di peringkat borong dan RM56 bagi runcit per kampit 20 kilogram (kg) di Semenanjung berkuat kuasa esok.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan memaklumkan sebelum ini harga kawalan maksimum BPS di peringkat borong ialah RM54 manakala RM58 bagi runcit per kampit 20kg.
KPKM berkata penyelarasan dibuat melalui sesi libat urus bersama pesawah dan pengeluar selepas mengambil kira beberapa faktor antaranya kos pengeluaran BPS dan penyelarasan harga lantai belian padi.
“Keputusan ini adalah sebahagian daripada usaha KPKM untuk menjaga kebajikan pesawah supaya mereka mendapat benih padi yang berkualiti tinggi pada harga berpatutan serta memastikan ketersediaan bekalan BPS berterusan di pasaran untuk keseimbangan ekosistem industri padi dan beras negara,” menurut kenyataan itu.
KPKM turut menjelaskan pemborong dan peruncit BPS dikehendaki menyelaraskan harga BPS di setiap peringkat jualan masing-masing bermula esok.
KPKM akan mengambil tindakan tegas dengan membatalkan lesen mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) jika penjual dan peruncit memanipulasi bekalan dan harga BPS.
“Mana-mana pihak yang didapati engan menjual, menyorok bekalan dan mengenakan syarat pembelian dan menjual melebihi harga kawalan maksimum yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan pembatalan lesen,” katanya.
BHonline-