SHAH ALAM – Lalu lintas yang ditutup dan dilencongkan pada Selasa melibatkan laluan dari Lebuh KLIA ke Jalan P5, Putrajaya, sempena lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia, berjaya dikawal sebaiknya oleh pihak polis walaupun dalam keadaan hujan lebat.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, penutupan jalan dilaksanakan bermula jam 6 petang.
“Kita telah menjangkakan kesesakan kerana penutupan dan lencongan jalan berlaku pada hari bekerja.
“Namun begitu, walaupun cuaca hujan, keadaan berjaya dikawal sebaik mungkin dengan menempatkan anggota trafik di setiap persimpangan dan laluan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Beliau turut menyeru orang ramai agar merancang perjalanan lebih awal berpandukan kenyataan media berhubung penutupan jalan yang telah disiarkan pada Ahad lalu.
“Ini penting bagi memastikan rancangan perjalanan dapat dibuat dengan baik oleh pengguna jalan raya selain diharap mereka mematuhi arahan pihak berkuasa sepanjang tempoh ini,” ujarnya.
Lawatan rasmi Presiden Xi Jinping ke Malaysia dijadualkan berlangsung dari Selasa hingga Khamis.
Menurut kenyataan JSPT, sebanyak 17 laluan utama di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya akan ditutup atau dilencongkan sementara selama 30 hingga 45 minit bagi memberi laluan kepada pergerakan delegasi negara tersebut.
Antara laluan yang ditutup pada jam 6 petang, 15 April adalah Lebuh KLIA, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lingkaran Putrajaya, Lebuhraya Putrajaya-Dengkil, Persiaran Selatan, Lebuh Gemilang dan Jalan P5.
Manakala pada 16 April (Rabu), penutupan bermula jam 9.30 pagi melibatkan Jalan P5, Lebuh Gemilang, Persiaran Selatan, Lebuhraya Putrajaya-Dengkil, Lingkaran Putrajaya, Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE).
Laluan lain yang turut terlibat termasuk Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), Lebuhraya Pantai Baru (NPE), Terowong SMART, Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban (KL-Seremban), Jalan Istana, Jalan Damansara serta Jalan Sultan Abdul Halim dan Jalan Sultan Iskandar.
Turut ditutup pada hari sama ialah Jalan Tunku Abdul Rahman, Lebuh Sentosa, Lebuh Perdana Barat dan Persiaran Seri Perdana pada sebelah petang, manakala pada jam 6.30 petang melibatkan penutupan di Persiaran Seri Perdana, Lebuh Perdana Barat, Lebuh Sentosa, Jalan Tunku Abdul Rahman, Lebuh Gemilang dan Jalan P5.
Pada jam 8.50 pagi, 17 April (Khamis), delegasi dijadualkan meninggalkan Putrajaya melalui Jalan P5, Lebuh Gemilang, Persiaran Selatan, Lebuhraya Putrajaya-Dengkil, Lingkaran Putrajaya, Lebuhraya ELITE dan Lebuh KLIA.
-Sinar Harian