PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan memutuskan Ahli Parlimen dan senator bersara tidak berhak menikmati kenaikan pencen apabila semakan gaji dibuat.
Ketika membenarkan rayuan kerajaan, panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohamed Hashim, berkata hak untuk semakan itu hanya hak bersyarat atau hak pada masa depan dan masih belum diperoleh.
Hasnah berkata, senator yang dilantik dan wakil rakyat Dewan Rakyat yang dipilih bukan ‘penjawat awam’ mengikut takrif dalam Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, hak pencen penjawat awam dilindungi oleh Perkara 147, yang menyatakan sebarang skim pencen baharu tidak boleh memberikan faedah yang kurang baik daripada undang-undang yang sedang berkuat kuasa pada ketika itu.
“Mahkamah mesti merujuk kepada peruntukan ini tanpa cubaan untuk mengubah atau mengubah tafsiran, terutama apabila tiada kekaburan,” katanya.
Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan tahun lalu yang memihak kepada 26 bekas senator.
Turut bersidang dalam panel yang mendengar rayuan itu ialah Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.
Mahkamah juga tidak mengarahkan bayaran kos kerana rayuan itu membabitkan isu kepentingan awam.
Bekas senator berkenaan diketuai oleh Datuk Idris Buang, memfailkan saman pemula untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa mereka berhak untuk pengiraan semula pencen yang disemak semula, yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2015.
Mereka menamakan ketua pentadbir Parlimen dan kerajaan sebagai responden dalam saman yang difailkan pada 15 Ogos 2019.
Permohonan mereka pada asalnya ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 2020 tetapi kemudian dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan.
Peguam Kanan Persekutuan,Al-Saifi Hashim, Rahazlan Affandi Abdul Rahim, Liew Horng Bin, Nurul Husni Abdul Rahman, Syahirah Ashahri, Tarmizi Ahmad, dan pegawai undang-undang Persekutuan, Jackie Mary Fernandes mewakili kerajaan.
Peguam Krishna Dallumah, Steven Thiru, Shankar Ram, Indran Kumaraguru, Yong Yoong Hui, Nasuha Badrul Din dan Chong Jen Hui mewakili responden.
-Berita Harian