SUBANG JAYA: Polis menafikan terdapat kematian dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, di sini seperti yang tersebar di media sosial.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kematian mangsa insiden berkenaan.
“Tak betul, tiada laporan diterima,” katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp kepada Harian Metro.
Sebelum ini, tular di media sosial mendakwa seorang mangsa meninggal dunia semalam akibat melecur dalam kejadian terbabit.
Pengguna TikTok dikenali sebagai Dhia mendakwa adik rakannya disahkan meninggal dunia dalam insiden berkenaan.
“Adik kawan saya meninggal semalam akibat lecur daripada insiden Putra Heights semoga adik terus kuat ye, moga Allah mudahkan dan lancarkan urusan kita semua,” tulisnya di ruangan komen.
Sebelum ini polis memaklumkan seramai 111 mangsa masih mendapatkan rawatan di beberapa hospital termasuk Hospital Serdang, Hospital Cyberjaya serta Hospital Putrajaya.
Bagi tahap kecederaan dialami mangsa, yang berada di zon merah 13 orang, zon kuning 55 orang, zon hijau seramai 43 orang.
Seramai 75 orang daripada 111 mangsa mendapat rawatan di hospital Serdang, Cyberjaya dan Putrajaya dan 36 lagi di lain-lain hospital termasuk Hospital Sungai Buloh.
BHonline-