SEREMBAN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning dijangka diumumkan sama ada 5 atau 6 April depan bagi membolehkan calon menyesuaikan diri dan dikenali pengundi lebih awal.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata BN akan mengadakan majlis ringkas pengumuman calon pada tarikh berkenaan, kira-kira seminggu sebelum hari penamaan calon ditetapkan pada 12 April.
“Pengumuman ini supaya pengundi kenal siapa calon dan selepas hari penamaan, calon boleh terus berkempen.
“Ia juga bagi memudahkan calon menyesuaikan diri sebelum berkempen sekali gus dapat menyantuni seramai mungkin lebih kurang 31,000 pengundi di Ayer Kuning,” katanya kepada media di sini, hari ini.
-Berita Harian