KUALA LUMPUR – DAP memberi jaminan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu di Selangor akan memberi sokongan kepada Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali selaku Menteri Besar Selangor.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, beliau telah memberi jaminan itu kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi ini dengan menyatakan komitmen DAP ke atas Mohamed Azmin.
“Saya telah bercakap dengan Anwar bagi menyatakan komitmen DAP bagi memastikan Mohamed Azmin dapat melaksanakan tugas sebagai Menteri Besar Selangor dan menunaikan janji-janji pakatan kepada rakyat negeri itu.
“Mohamed Azmin perlu diberi sokongan untuk mentadbir Selangor,†katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Guan Eng menafikan khabar angin akan berlaku undi tidak percaya dalam kalangan ADUN Selangor ke atas Mohamed Azmin kerana kesemua 15 ADUN DAP akan memberi sokongan kepada Timbalan Presiden PKR itu.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini berharap majoriti ADUN akan menyokong Mohamed Azmin untuk mengelak undi tidak percaya ke atas beliau.
Menurut Mahathir, jika itu berlaku maka rakyat Selangor terpaksa mencari Menteri Besar yang lain untuk menggantikan Mohamed Azmin.