GAGASAN Sejahtera bakal melancarkan manifesto yang diuar-uarkan sebagai istimewa kerana lebih menjurus menangani isu rakyat di Cyberjaya pada Ahad, 18 Mac nanti, kurang dua minggu selepas Pakatan Harapan (PH) melancarkan manifesto.
Dalam sidang media yang pada awalnya diisytiharkan sebagai pelancaran manifesto PAS, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata manifesto itu nanti bakal mensasarkan terus pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan muda, wanita, petani dan nelayan.
“Berbeza dengan manifesto PAS sebelum ini, sembilan teras penting yang menjadi dasar umum manifesto antaranya pengukuhan semula konsep federalisme dengan mengembalikan hak kerajaan negeri,” katanya.
Sembilan asas manifesto bersama itu ialah:
1. Membentuk kerajaan berintegriti, beramanah dan bebas daripada korupsi.
2. Penambahan pendapatan boleh guna serta penjanaan peluang baharu untuk rakyat.
3. Pemberdayaan rakyat untuk meredakan kesan peningkatan inflasi dan kenaikan kos sara hidup.
4. Pengurangan jurang agihan pendapatan dan kekayaan ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar.
5.peningkatan kualiti pendidikan ke arah pembinaan modal insan cemerlang.
6. Pengharmonian sistem perundangan dan tadbir urus negara selaras dengan kehendak syariah.
7. Pengukuhan semula prinsip federalisme, dengan mengambalikan hak-hak tertentu kerajan negeri yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
8. Pemerkasaan suara rakyat selaras dengan tuntutan syura dan amalan demokrasi yang menjadi dasar politik negara kita.
9. Penambahbaikan keberkesanan sistem ekonomi, sistem sokongan sosial untuk golongan yang memerlukan.
Sidang media di ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut itu diadakan selepas bulanan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat dipengerusikan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Selain Tuan Ibrahim, turut sama dalam sidang media itu ialah Naib Presiden, Idris Ahmad; Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan; Ketua Pemuda, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr. Mohd Zuhdi Marzuki.
Gagasan Sejahtera yang digelar “Blok Ketiga” terdiri daripada PAS sebagai parti terbesar, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).
Gagasan walau bagaimanapun kurang menonjol sejak ditubuhkan apabila gabungan itu kurang muncul dalam program secara bersama dan masih tidak ada program yang diadakan atas nama Gagasan.
Pelancaran manifesto yang dijadual Ahad nanti bakal menjadi program Gagasan pertama sebagai satu gabungan dan kerjasama pilihan raya.
Majlis pelancaran manifesto Gagasan itu nanti akan dimulakan dengan syarahan daripada Presiden PAS Abdul Hadi yang juga Pengerusi Gagasan. – Mynewshub.cc/H