JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Perayaan Thaipusam Peringkat Negeri Johor, 2019 di Kuil Arulmigu Thendayuthapani, Jalan Kuel, Wadi Hana, di sini, hari ini.
Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim di kuil berusia 102 tahun pada jam 12 tengah hari turut diiringi Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim.
Baginda disambut pengerusi kuil, C Vateemalee, bersama ribuan penganut agama Hindu yang membanjiri kawasan kuil sejak malam tadi.
Hadir sama ke kuil itu, Menteri Besar Johor, Datuk Ospan Sapian dan Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Sumber Manusia Dan Perpaduan negeri, Dr. S Ramakrishnan, dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Amran A Rahman.
Vateemalee, dalam ucapannya, menjunjung kasih terhadap keberangkatan tiba Sultan Ibrahim ke kuil berusia 102 tahun sempena Sambutan Thaipusam.
“Patik terhutang budi di atas jasa baik Tuanku ke majlis pada hari ini dan berharap sokongan padu seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang.
“Semoga Johor menjadi negeri terbaik dan moden, selain berharap tuanku kekal prihatin dan disanjungi rakyat tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.
Terdahulu, Sultan Ibrahim yang tiba ke kuil diberikan tepukan gemuruh sebelum Baginda melawat ruang pameran dan menandatangani plak ketibaan.
Baginda kemudian dikalungkan bunga malai sebagai tanda terima kasih terhadap keberangkatan tiba ke majlis di kuil itu.
Sultan Ibrahim turut menyampaikan sumbangan bernilai RM2,000 bagi pihak kuil masing-masing RM1,000 kepada Persatuan Kebajikan Orang Istimewa Johor dan Persatuan Kebajikan Rumah Kesayangan.
Pengurusan kuil turut menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada Yayasan Kanser Tunku Laksamana. – BH Online