PETALING JAYA – Pelakon filem popular, Soffi Jikan diperintah bela diri oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya terhadap pertuduhan menggunakan ganja, tahun lalu.
Majistret Mohamad Ikhwan Mohd. Nasir membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membangkitkan kes prima facie pada akhir pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 28 Jun sebagai tarikh prosiding pembelaan.
Pada 13 Februari lalu, Soffi mengaku tidak bersalah memasukkan dadah jenis THC (11 – nor delta-9 tetra hydrocannabinol -9) ke dalam badannya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya pukul 11.15 malam pada 6 Februari 2018.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1957.
Sekiranya disabitkan dengan kesalahan itu, Soffi boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali dan diwajibkan berada dalam pengawasan polis selama dua tahun.
Soffi sebelum ini pernah ditahan reman selama tiga hari berkaitan kes tersebut. – K ONLINE!