PUTRAJAYA – Permohonan syarikat dalam sektor tambahan termasuk kedai gunting rambut untuk beroperasi semula secara berperingkat, akan diputuskan untuk kelulusan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Bagaimanapun, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bukan semua permohonan itu yang akan mendapat kelulusan beroperasi semula.
Katanya, pihaknya juga sudah dimaklumkan oleh MITI, ia akan meneliti setiap pandangan yang disuarakan dan pelaksanaannya bukanlah dengan serta merta.
“Saya difahamkan ada proses permohonan dan tidak semestinya permohonan itu akan diterima… ia akan dibuat oleh MITI terutama cadangannya ialah di kawasan zon hijau saja, bukan di kawasan merah dan sebagainya.
“Bagaimanapun, perincian berkenaan prosedur operasi standard (SOP) akan dikeluarkan oleh MITI. Setakat hari ini, kerajaan menerima pandangan daripada rakyat dan MITI akan meneliti dan memperhalusi setiap pandangan rakyat.
“Peringkat awalnya, ia bukan secara serta merta sebaliknya melalui permohonan. Keputusannya tetap kita serahkan kepada MITI. Biarlah MITI mengeluarkan kenyataan mereka untuk memberikan penjelasan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya, hari ini.
Ismail Sabri berkata demikian, apabila ditanya sama ada kerajaan akan menarik balik kebenaran untuk operasi kedai gunting rambut dibenarkan berikutan reaksi orang ramai termasuk pengusaha yang menolak untuk beroperasi berikutan sukar untuk melakukan penjarakan sosial.
Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam satu perutusan khas, menyatakan beberapa sektor tambahan akan dibenarkan untuk beroperasi semula apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memasuki fasa ketiga pada 15 April ini.
Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dalam satu kenyataan, berkata pihak syarikat dalam sektor yang dibenarkan beroperasi itu wajib mematuhi syarat-syarat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Katanya, selain pematuhan terhadap syarat-syarat dan garis panduan yang diperketatkan, kebenaran beroperasi juga tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan garis panduan oleh lain-lain agensi penguatkuasaan yang berkaitan, dari semasa ke semasa.
Kegagalan syarikat berbuat demikian boleh mengakibatkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta-merta dan berdepan dengan tindakan undang-undang.
Sektor yang tersenarai adalah industri automotif (terhad kepada eksport unit siap pasang sepenuhnya, peralatan dan komponen, serta perkhidmatan selepas jualan contohnya penyelenggaraan), industri mesin dan peralatan, industri aeroangkasa, projek-projek pembinaan dan perkhidmatan berkaitan pembinaan, perkhidmatan sains, profesional dan teknikal termasuk, penyelidikan dan pembangunan (R&D) (hanya terhad kepada perkhidmatan berkaitan guaman, perkhidmatan berkaitan minyak dan gas, aktiviti-aktiviti R&D berkaitan COVID-19 serta makmal-makmal ujian bagi sektor-sektor yang dibenarkan beroperasi sahaja.
Perkhidmatan kesihatan sosial termasuk perubatan tradisional yang berdaftar (hanya terhad kepada Perubatan Tradisional dan Komplementari (TCM) berdaftar); perkhidmatan kedai perkakasan (hardware), kedai barangan elektrik dan elektronik dan kedai cermin mata sahaja dalam pemborongan dan peruncitan; perkhidmatan gunting rambut asas (gunting sahaja) dan perkhidmatan dobi (bukan layan diri). – BH Online