BEKAS penyampai radio Best FM, Haiza merupakan muka baru bagi stesen radio Kool FM, sebuah stesen radio di bawah naungan Media Prima Radio Networks yang memulakan operasinya pada 3 Mac.
Antara muka baharu lain dikatakan bakal mewarnai stesen radio ini adalah Professor Dr. Muhaya Mohamad.

Stesen radio terbaharu ini bakal ke udara buat permulaan melalui frekuensi 101.3 FM di Lembah Klang dan 90.2 FM di Pulau Pinang.
Ia menyasarkan pasaran pendengar Melayu berumur 25-44 tahun dengan pilihan lagu-lagu lokal dan antarabangsa 1980-an, 1990-an serta lagu hits terkini.
Haiza yang juga merupakan bekas peserta program Gegar Vaganza 2 akan bergandingan dengan bekas penyampai Hot FM, AG menerusi segmen Pagi Di Kool FM  bermula 6 pagi hingga 10 pagi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Radio Media Prima (RRMP), Seelan Paul pemilihan Haiza dibuat selepas melihat gandingannya yang serasi bersama AG ketika diundang menghadiri sesi uji bakat Januari lalu.
Pengalaman pelantun lagu Dag Dig Dug sebagai penyampai radio di salah sebuah stesen radio di Johor Bahru itu juga diambil kira sebelum menyerap beliau menyertai stesen radio baharu tersebut.
Menurut sebuah laman portal hiburan terkenal Malaysia, Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin, 36, memberitahu bahawa penglibatan beliau dalam Kool FM tidak akan menjejaskan karier beliau sebagai penyanyi. –MYNEWSHUB.CC
[youtube https://www.youtube.com/watch?v=HW7ETaGh52E]