PETALING JAYA – Pelakon terkenal Liza Abdullah menyangkal laporan sebuah akhbar mingguan kononnya dia bakal berkahwin dengan seorang jurukamera pada Disember depan.
Liza, 50, berkata, dia hanya mengetahui mengenai dakwaan berkenaan selepas membaca laporan itu dan menegaskan dia tidak mempunyai hubungan dengan mana-mana lelaki selepas bercerai dengan bekas suaminya, Zolkifli Abdul Rahman pada Februari lalu.
“Pertama sekali kenyataan dalam akhbar berkenaan bukan datang dari mulut saya dan saya sendiri tidak mengetahui tentang perancangan akan berkahwin pada Disember ini.
“Berita berkenaan sama sekali tidak benar dan ia amat mengejutkan saya,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Ahad.
Menerusi laporan berkenaan, sumber yang dikatakan sebagai rakan rapat dramatis tersebut mendedahkan jurukamera tersebut sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk memperisterikan Liza namun pelakon itu tidak segera memberi jawapan kerana baharu sahaja bercerai.
Bagaimanapun selepas melihat kesungguhan lelaki itu akhirnya hati Liza terbuka untuk menerimanya dan pasangan berkenaan dikatakan sedang sibuk membuat persiapan majlis pernikahan mereka namun tidak merancang untuk mengadakan majlis secara besar-besaran.
Dalam pada itu, Liza berkata, dia terkilan dengan individu mendakwa sebagai teman rapatnya kerana sanggup mereka-reka cerita yang disifatkan tidak berasas tentang dirinya.
“Sekiranya benar sekali pun itu hak untuk bercakap mengenainya mestilah datang daripada mulut saya sendiri dan bukannya orang lain.
“Saya terkilan kerana ‘kawan rapat’ tidak akan buat begitu kepada saya malah saya tidak rasa orang yang mengesahkan perkara itu adalah kawan baik saya,” jelasnya.
Sementara itu, Liza berkata, ekoran laporan berkenaan anak-anak, keluarga dan bekas iparnya menelefonnya bagi mendapatkan kesahihan berita tersebut.
Jelasnya lagi, gosip seperti itu mampu memberi kesan buruk kepadanya terutama jika ada yang tidak membaca isi keseluruhan laporan itu.
“Gosip seperti itu sudah tentu menganggu gugat kerjaya saya kerana sepanjang 32 tahun berkecimpung dalam bidang seni belum pernah lagi saya terpalit dengan cerita-cerita gosip seperti itu.
“Orang lain yang tidak baca secara keseluruhan berita tersebut mungkin akan salah faham tambahan pula dengan usia saya sekarang macam-macam orang boleh kata,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Liza berkata, selain sibuk dengan aktiviti penggambaran dia kini berada di Lenggong, Perak bagi menghadiri program bersama Perbadanan Kemajuan Filem Negara Nasional (Finas) dalam menyampaikan maklumat mengenai peranan perbadanan tersebut dikalangan masyarakat menerusi aktiviti menarik. – mStar Online