SINGAPURA – Tidak banyak penyanyi kelahiran Singapura pada masa kini yang nampaknya benar-benar menambat perhatian penggubah lagu tersohor dan penyanyi juga asal dari Singapura, Datuk M. Nasir.
Dalam satu sesi wawancara dengan media Singapura baru-baru ini, beliau malah kelihatan terkial-kial untuk menyebut nama penyanyi Singapura yang ada sekarang, yang dirinya sendiri tahu secara peribadi terutama artis Melayu.
Namun, nama-nama penghibur tempatan yang berada di hujung bibir M. Nasir, atau nama penuhnya Mohamad Nasir Mohamad; secara spontan nampaknya hanyalah Alif Aziz, kumpulan Sleeq dan rapper popular Dali.
Nama-nama penyanyi terkenal seperti Taufik Batisah dan Hady Mirza nampaknya tidak pula melekat di minda beliau. Untuk menyaksikan jawapan M Nasir itu, ikuti klip video MediaCorp yang disertakan dalam artikel ini (KLIK SINI).
M Nasir yang dilahirkan pada 1957 ketika itu berada di Singapura untuk membuat rakaman rancangan hiburan ‘Akustika Bersama‘ yang akan disiarkan pada Selasa, 7 April di saluran Suria MediaCorp, pada 8.30 malam.
‘Akustika Bersama‘ merupakan program lapan episod yang mengetengahkan artis tempatan dari pelbagai genre, dan membuat persembahan secara akustik di The Arts House dengan diiringi kumpulan pemain muzik profesional.
Bukan setakat sebuah persembahan nyanyian, program itu juga menyelitkan wawancara santai bersama para penyanyi undangan untuk mereka berkongsi kisah perjalanan muzik diri masing-masing. – Agensi/A.AMREE