SEOUL – Tindakan seorang anak perempuan Ketua Pegawai Eksekutif Korean Air memaksa ketua pramugara keluar dari pesawat beberapa minit sebelum berlepas mencetuskan kritikan banyak pihak di Korea Selatan cuma kerana satu sebab remeh – silap menu kacang.
Insiden pada 5 Disember lalu didedahkan beberapa akhbar tempatan hari ini yang melaporkan, Cho Hyun-ah mengarahkan anak kapal itu keluar pesawat sebaik ia mula memasuki landasan dan terpaksa berpatah balik ke terminal lapangan terbang New York.
Dia yang juga naib presiden eksekutif syarikat diuruskan keluarga, Cho Yang-ho itu bertindak demikian kerana ketua pramugara gagal mematuhi manual standard menyajikan kacang yang tidak dipesannya dan dibungkus pula dalam plastik; bukan mangkuk.
Akibatnya, pesawat itu yang dalam perjalanan ke Seoul tiba lewat 11 minit daripada jadual namun, seorang jurucakap Korean Air dalam reaksi awal berkata Hyun-ah telah mengambil pendirian bahawa penyelia kabin itu gagal memastikan keselamatan 250 penumpang.
Juruterbang pesawat turut bersetuju dengan keputusan wanita itu kerana ia melibatkan penerbangan jarak jauh selama 13 jam tetapi Kementerian Pengangkutan Korea Selatan pula sebaik menerima laporan itu mendakwa, kes tersebut sedang disiasat dengan teliti.
“Kami perlu melihat sama ada ia melibatkan apa-apa pelanggaran peraturan keselamatan penerbangan dan jika siasatan mendapati sebarang kesalahan, tindakan yang sewajarnya akan diambil terhadap syarikat Korean Air,” kata jurucakap kementerian di Seoul.
Pembangkang utama, New Politics Alliance for Democracy juga menggesa siasatan menyeluruh dan mendakwa Hyun-ah sepatutnya ada tanggungjawab menjaga imej syarikat penerbangan itu berbanding membuat kecoh bodoh hanya kerana menu kacang. – Agensi