KUALA LUMPUR – Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp.) berkata garisan tebal yang kelihatan dalam gambar yang didakwa terdapat ‘keretakan’ sebenarnya adalah dua helai jaring yang menutupi landasan di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP).
Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MRT Corp., Amir Mahmood Razak berkata jaring itu diletakkan di situ sebagai langkah berjaga-jaga kerana kerja-kerja pembersihan masih dijalankan di landasan itu.
“Garisan tebal itu sebenarnya adalah sambungan dua helai jaring yang dijahit bersama. Ia bukan retakan pada konkrit di landasan itu seperti yang dibincangkan dalam media sosial,” katanya dalam kenyataan di sini malam Khamis.
Mahmood menasihatkan pengguna agar tidak bimbang ketika memandu di bawah landasan tersebut.
“Saya menasihatkan orang ramai tidak mempercayai dakwaan seperti yang disebarkan melalui media sosial berhubung perkara ini dan pemandu tidak harus memperlahankan kenderaan mereka untuk melihat ketika melalui LDP di lokasi itu,” katanya.
Gambar yang didakwa seperti keretakan pada landasan MRT itu disebarkan secara meluas di media sosial hari ini. – mStar Online