SESUNGGUHNYA tidak ada sesiapa pun yang sanggup menghadapi kehilangan insan tersayang buat selama-lamanya.
BACA: “Warkah Buat Anakku, Jalil” – Tunku Zarith Sofea
Apatah lagi, jika insan yang pergi itu merupakan ahli keluarga sendiri. Tidak dapat  digambarkan betapa sakit dan peritnya perasaan sedih yang terpaksa ditanggung.
Namun realitinya semua orang akan merasai kehilangan kerana setiap yang bernyawa itu pasti kembali kepada Penciptanya jua.
Tidak terkecuali, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang terpaksa menerima hakikat teramat rindu setelah 12 hari pemergian anakandanya Almarhum Tunku Abdul Jalil akibat kanser.
Coretan baginda menerusi laman Facebook rasminya itu benar-benar menyentuh hati sesiapa sahaja yang membacanya.
Baginda turut berkongsi memori manis bersama anakandanya yang mesra dipanggil Lil itu dan menyifatkan kehilangan yang dirasai sungguh memeritkan buatnya sebagai bapa.
Telah 12 hari berlalu semenjak anakanda saya, Almarhum Tunku Abdul Jalil, Tunku Laksamana Johor, meninggalkan kita.
Saya dan keluarga ingin merakamkan penghargaan kami kepada anda semua yang telah berdoa dan menghantar ucapan takziah buat Almarhum dan kami sekeluarga.
Saya juga sesungguhnya amat menghargai serta Menjunjung setinggi kasih keatas Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Yang di-Pertuan Negeri Pahang Darul Makmur, Sultan Ahmad Shah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, kerana telah Mencemar Duli turut bersama sewaktu pemakaman Almarhum.
Saya juga ingin merakamkan penghargaan saya kepada Paduka-Paduka Kekanda dan Adinda Sultan-Sultan yang lain diatas ucapan takziah yang telah diterima dan diatas keberangkatan wakil masing-masing. Terima kasih juga kepada ahli-ahli majlis eksekutif, menteri-menteri, orang-orang kenamaan asing, kaum kerabat, rakan-rakan, Bangsa Johor, dan semua rakyat Malaysia, yang telah hadir memberi penghormataan terakhir kepada Almarhum.
Ia sesungguhnya satu masa yang pedih buat keluarga kami untuk menghadapi apa yang berlaku walaupun kami menyimpan semua memori indah tentangnya.
Perasaan kasih yang telah ditunjuk dan dikongsi oleh anda semua terhadap Almarhum sangat mendalam dan mengesankan, dan telah membantu melegakan hati kami yang berduka ini.
Sebagai seorang bapa, kesakitan kehilangan seorang anak adalah amat memeritkan. Tiada ibu atau bapa yang patut mengebumikan anak mereka, namun, Allah juga Yang Maha Mengetahui.
Almarhum merupakan seorang yang rendah diri, baik hati dan penyayang, dan saya amat berbangga dengannya. Walaupun di saat-saat terakhirnya, Almarhum sedang menanggung kesakitan yang amat sangat, kebimbangannya bukan tentang dirinya sendiri tetapi tentang kami semua.
Senyumannya menyinari kehidupan kami dan walaupun dia telah meninggalkan kami sebelum kami bersedia melepaskannya, dia akan terus kekal di dalam hati kami selama-lamanya.
Saya berharap Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor yang mana telah diasaskan oleh Almarhum bagi membantu mereka yang menderita dari kanser akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia, tua dan muda, yang sedang bergelut dengan penyakit tersebut.
Lil sesungguhnya istimewa dan tidak akan dilupakan. Mama, abang-abang, kakak, adik-adik Lil dan Babah, akan mengingati Lil sepanjang hayat kami. Al-Fatihah.” – Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor.
Almarhum yang dilahirkan pada 5 Julai 1990 merupakan putera keempat Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah. – MYNEWSHUB.CC
[youtube https://www.youtube.com/watch?v=FsQX-t38ljQ?list=PLKB25AZ3HpxJHDZmOW9reA7Fg1p1EWA6m]