Hujah Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menjadi faktor penting dalam menentukan nasib Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Adakah Muhammad Shafee akan mengemukakan penemuan baharu berhubung perbicaraan ini berbanding pasukan peguambela yang hanya mengemukakan hujah dan fakta lama?
Para peguam Anwar telah berpeluang memberi hujah terhebat mereka, ia suatu perbicaraan yang sangat panjang, banyak perkara diulang-ulang, tiada penemuan baharu dan ramai peguam pemerhati menyatakan ia adalah tanda aras yang sukar kepada pasukan Anwar.
Tambahan pula, ramai pengamal undang-undang sangat terkejut dengan keputusan ketua pasukan peguam Anwar, Sulaiman Abdullah, menarik diri.
Anwar sangat gerun dengan Muhammad Shafee, bukan sahaja kerana mereka seangkatan, sangat kenal-mengenali berpuluh-puluh tahun, malah tiada satu pun helah Anwar yang tidak difahami Muhammad Shafee.
“Saya lebih kenal Anwar berbanding Tun Dr Mahathir,” demikian kata Muhammad Shafee.
Jika anda mahu menggunakan perkhidmatan Muhammad Shafee, perkiraan intinya apakah anda sanggup bangun subuh buta jika dipanggil, adakah anda akan terkejut jika yang mengetuk pintu rumah anda bukannya posmen Muhammad Shafee tetapi beliau sendiri, dan adakah anda sanggup menerima panggilan telefon di kala anda sedang lena diulit mimpi.
Adakah anda sanggup datang ke pejabatnya pada subuh jantan sekiranya dipanggil? Guaman adalah dirinya dalam dirinya.
Anda tidak akan menerima sehelai kertas pun daripada Muhammad Shafee melalui orang ketiga. Beliau akan membuatnya sendiri dari A hingga Z. Sampai ke tahap itu integriti dan sekuriti diamalkannya.
Maka tiada siapa mampu mencuba belinya jauh sekali merasuahnya, jika sesiapa mencuba pasti kecewa. Anwar tahu hal ini, kerana itu Anwar berusaha membatalkan Muhammad Shafee daripada menjadi pendakwa raya.
10 ribu patah perkataan yng dilontarkan oleh peguam-peguam termahal Anwar, tidak akan sama dengan 100 patah perkataan dikeluarkan oleh Muhammad Shafee.
Kita tidak bercakap siapa salah siapa betul,itu hak peguam-peguam kedua-dua belah pihak, dan hakim-hakim untuk menentukan selepas selesai semua hujah masing-masing.
Asasnya ialah keadilan mesti ditegakkan, sama ada kepada Anwar atau kepada Saiful Bukhari Azlan.
Kerajaan tidak ada apa-apa kepentingan dalam isu ini, ia kes Anwar dengan bekas pembantunya, Saiful.
Ia bukan soal siapa kalah siapa menang, rakyat dan negara mesti kekal aman, damai dan harmoni selepas selesai perbicaraan ini. Kita perlu ada muka yang baharu.
Kalah atau menang adalah di luar kuasa kita sebagai hambaNya tetapi Insya Allah berkat ketulusan Muhammad Shafee menentang yang mungkar, kemenangan akan memihak pada yang benar. – MYNEWSHUB.CC