SEMPORNA – Seorang lelaki terkejut selepas mendapati ‘objek’ yang sedang dibaham dua ekor biawak di bawah sebuah rumah atas air di Lorong 3, Kampung Air, dekat sini, petang Jumaat adalah mayat seorang bayi.
Ketua Polis Daerah Semporna, Supritendan Peter Umbuas berkata bayi yang identitinya belum dikenal pasti itu ditemui lelaki berkenaan ketika dia memandikan anaknya di dalam bilik air rumahnya, pada 3.34 petang.
“Penduduk berkenaan terkejut apabila mengamati objek yang jadi rebutan dua ekor biawak itu adalah tangan manusia. Lelaki itu terus bertindak mendekati dan usir biawak berkenaan daripada memakan objek tersebut,” katanya.
Peter dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, lelaki itu yang pergi melihat bayi berkenaan dengan lebih dekat, mendapati objek tersebut adalah tubuh bayi yang tidak sempurna.
Lelaki itu kemudian meminta bantuan orang kampung untuk mengutip sisa tubuh yang ada dan segera menghubungi polis untuk tindakan lanjut.
“Tempat penemuan mayat bayi ini telah dilawati dan didapati kawasan itu adalah kawasan rumah atas air, yang dipenuhi sampah sarap. Mayat bayi ditemui ketika air laut sedang surut,” katanya.
Mayat bayi berkenaan dibawa ke Hospital Semporna untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian. – BERNAMA