Perlawanan antara pasukan Malaysia dan dua pasukan tersohor liga Inggeris, Tottenham Hotspur dan Liverpool yang dijadualkan berlangsung Mei dan Jun depan menimbulkan reaksi negatif dari peminat bola sepak tempatan.
Lantas, ada segelintir pihak mengajak seantero peminat untuk memboikot kedua-dua aksi tersebut yang disifatkan tidak lebih dari sekadar aksi sarkas!
Menggunakan #SayNoToCircusGame di laman mikro Twitter, ramai pengikut bola sepak Malaysia kecewa dengan tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang lebih mendahulukan perlawanan tersebut dari perlawanan penting di Sukan Sea Singapura.
Sekadar informasi, pertembungan dengan The Spurs akan berlangsung kurang dua minggu sebelum pasukan Malaysia perlu beraksi di Sukan Sea, diikuti dengan perlawanan kelayakan Piala Dunia pada bulan berikutnya.
Memetik kenyataan Alfadli Awaludin yang juga wakil dari kelab peminat bola sepak Ultras Malaya, apa yang sepatutnya berlaku adalah kedua-dua pasukan tersebut berentap sesama sendiri di Malaysia.
Ujarnya kepada hub berita Reuters, “Ia bukan membabitkan isu benci dengan kehadiran Liverpool mahupun Spurs, namun konsepnya dilihat tidak kena.
“Jarak masa. Kita sepatutnya memberi fokus terhadap perlawanan yang lebih penting seperti kelayakan Piala Dunia. Kenapa kita perlu fokus terhadap sesuatu yang tidak memberikan faedah langsung?
“Cuba bayangkan, selepas aksi bersama Spurs, tiga atau empat pemain kita cedera, apa akan berlaku terhadap aksi kelayakan Piala Dunia nanti?”
Rangking dah lah kelaut. Pahtu boleh buat friendly dgn kelab EPL. Tak dpt ape. Dpt Kalah adelah. #ProEventBangsat #SayNoToCircusGame. #FAMB
— حيري
(@aeri_khinchan) April 29, 2015
oleh itu, sama samalah kita berterima kasih kepada FAM untuk kejatuhan ini..
ikhlas ni.#SayNoToCircusGame pic.twitter.com/JZphImOtbS
— Ultras Tranung (@UltrasTranung) May 7, 2015
Bukan itu sahaja, pertikaian dari peminat bola sepak tanahair menjadi semakin panas apabila ada mulut-mulut turut mempertikaikan tindakan pihak atasan yang mengikut jadual pasukan liga Inggeris itu.
“Ianya sangat merepek bagi saya. Kenapa kita perlu ikut telunjuk mereka? Hanya kerana mereka dari EPL, kita perlu tunduk? Apa yang dipertikaikan ini melibatkan isu maruah. Ini liga kita, kita tak perlu ikut mereka.”
Sebelum ini, pasukan Malaysia pernah bertemu dengan beberapa pasukan ternama lain seperti Arsenal, Liverpool dan Chelsea yang menyaksikan kekalahan buat negara.
Nampaknya, hujah yang dilontarkan peminat tegar Harimau Malaya memang ada isi dan rasionalnya.
Apalah gunanya mengundang pasukan ternama luar negara untuk beraksi di sini andai keputusan di hujung 90 minit perlawanan sudah diketahui.
Semua pihak perlu menelan fakta bahawa pasukan Malaysia yang kini menghuni tangga ke 166 dalam ranking FIFA, mustahil untuk menang.
Molek kiranya pertembungan yang diibaratkan sarkas itu diketepikan, dan diganti dengan melebihkan tumpuan pasukan kepada perlawanan di Sukan Sea Singapura dan kelayakan Piala Dunia 2018.
Orang selalu cakap, apa guna kalau hanya jadi ‘jaguh di kampung’. Tetapi dalam kes ini, nampaknya angan menjangkau lebih tinggi kerana belumpun menjadi jaguh di kampung, pasukan Malaysia sudah diletak satu padang dengan jaguh dunia!
– MYNEWSHUB.CC
Oleh: IZZAT MOHD ANUAR
 Gol-Gol Terbaik Dalam Sejarah Bola Sepak Malaysia
https://www.youtube.com/watch?v=eDXenRckPgw