PENYAKIT Meningitis yang dihidap Karen Crespo, 32, dari Los Angeles menyebabkan kedua-dua belah tangan dan kaki selain hidung dan sebahagian atas bibirnya terpaksa dipotong.
40 peratus bahagian badannya yang hilang itu kemudiannya terpaksa diganti dengan anggota tiruan.
Karen yang turut digelar sebagai ‘manusia patung’ kerana anggota tubuhnya banyak terdiri daripada anggota tiruan, turut menempuh pengalaman bertarung nyawa untuk meneruskan hidup dengan peluang diberikan oleh doktor 10 peratus sahaja, selepas berada dalam keadaan koma selama 15 hari.
Demi untuk memberi inspirasi kepada mereka yang mempunyai masalah sama, Karen telah dijemput untuk membuat kemunculan khas di Minggu Fesyen New York (NYFW), menjadikan dia model wanita pertama yang tampil dengan kaki dan tangan palsu di pertunjukan fesyen terkenal berkenaan.
Menurut Karen kepada Daily Mail, dia kecewa kehilangan keempat-empat anggota namun tetap berusaha untuk menerima keadaan fizikalnya yang baharu.
Tambahnya, kemunculan di NYFW merupakan sesuatu yang menakjubkan.
Walaupun menghidap penyakit yang teruk sehingga kehilangan anggota badan yang penting untuk pergerakan namun wanita ini  tidak putus asa dan telah membelanjakan AS$180,000 (RM722,259) untuk pembedahan dan membeli kaki dan tangan palsu.
Karen memberitahu dia terpaksa untuk belajar kembali melakukan rutin asas seperti makan dan berjalan, namun tetap bersyukur kerana tidak ramai pesakit Meningitis yang berjaya hidup sepertinya.
Bekas jururawat ini juga bersyukur, walaupun kehilangan tangan dan kaki ternyata ada hikmah di sebalik kejadian itu iaitu keinginan untuk jadi model dan berjalan di pentas NYFW akhirnya tercapai. – MYNEWSHUB.CC