SEJAK semalam, viral menerusi laman sosial berita mengenai Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar telah membeli sebuah pesawat peribadi model Boeing 737-800 yang baharu.
Menurut laporan sebuah portal berita yang memetik sumber, pesawat berkenaan kini dalam yang perjalanan dari Amerika Syarikat ke Johor Bahru dan dibina dengan ciri khas mengikut spesifikasi diinginkan baginda sendiri.
Difahamkan juga pesawat baharu itu berkemampuan membuat penerbangan jarak jauh selama 10 jam tanpa henti.
Pesawat berwarna emas yang tertera lambang diraja Johor itu dikatakan mempunyai ruang dalaman eksklusif dengan direka khas mengikut permintaan spesifikasi Sultan Ibrahim.
Berdasarkan kepada nilai harga pasaran semasa, pesawat model 737-800 ini dianggarkan berharga lebih RM400 juta (AS$96 juta).
Sultan Ibrahim sebenarnya merupakan peminat kereta dan kapal terbang. Malah, baginda juga dilaporkan memiliki lesen juruterbang.
Pesawat itu dijangka tiba di Johor Bahru beberapa minggu lagi, menurut sumber tersebut kepada portal berkenaan.
Selain koleksi kereta, Sultan Johor memiliki sebuah trak ‘Mack’ termahal di dunia dan baginda pernah menghadiahkan sebuah kapal terbang sempena ulang tahun kelahiran anakanda baginda, Tuanku Mahkota Johor, Tuanku Ismail.
Bagaimanapun, sehingga berita ini disiarkan, tiada maklumat rasmi yang dikeluarkan oleh pihak Istana Johor berkenaan pembelian kapal terbang eksklusif berkenaan. – MYNEWSHUB.CC