SEMUA tahu, Lim Kit Siang merupakan antara pemimpin pembangkang yang disegani. Begitu juga dengan anaknya yang menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Sayangnya, nasib tidak menyebelahi individu yang memiliki nama sama dengan Ahli Parlimen DAP dari Gelang Patah itu.
[Kit Siang Ramal PRU14 PAS Akan Tumbang Di Kelantan]
Seorang penduduk di pulau mutiara yang memiliki nama Lim Kit Siang menceritakan keperitannya yang terpaksa hidup menggunakan air perigi semenjak 25 tahun lalu.
Tinggal di Kampung Kubang Ulu, Penanti yang terletak dalam kawasan parlimen Permatang Pauh,  dia sekeluarga hidup dalam keadaan menderita kerana kekurangan tersebut.
Akibat daripada ketiadaan bekalan air bersih, dia bersama-sama bapanya, Lim Kim Chuan, 80, dan bapa saudaranya, Lim Chye Hap, 56, perlu membeli makanan serta minuman dari kedai setiap hari.
Ujar Chye Hap, air perigi itu tidak boleh digunakan untuk memasak mahupun sebagai air minuman dan hanya digunakan untuk aktiviti mandi dan mencuci pakaian.
Ujarnya seperti yang disiarkan portal The Rakyat Post, “Air dari perigi ini agak kotor dan berbau jadi tidak boleh nak digunakan untuk masak hingga kami terpaksa beli makanan dan minuman bungkus setiap hari.”
Tambahnya, kehidupan mereka juga dalam keadaan serba kekurangan, yang mana dia hanya bekerja kampung manakala Kit Siang bekerja sebagai pemandu bas sekolah.
“Yalah, kerja kampung ni mana ada pendapatan tetap. Bila ada orang panggil buat kerja barulah dapat upah duit dan saya tidak boleh harapkan abang saya kerana dia dah tak larat disebabkan umurnya sudah mencecah 80 tahun.
“Jadi kalau tidak ada orang panggil buat kerja, anak saudara sayalah yang menjadi tempat kami bergantung itupun berapa sangatlah gaji dia sebagai pemandu bas sekolah.”
Katanya, dia tidak tahu saluran yang patut diambil untuk memohon bantuan bagi menyelesaikan isu tersebut.
“Saya nak tulis surat pun tidak pandai, jadi tak tahu nak jumpa siapa yang boleh tolong. Saya harap ada pihak yang sudi bantu kami.”
– MYNEWSHUB.CC
Oleh: ALI, AHMAD & ABU
Astro Awani – Shahrizat Abdul Jalil Beri Nasihat Kepada Pengundi Permatang Pauh