PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak minta semua pihak sedar bagaimana persepsi melulu boleh ubah yang baik jadi sebaliknya hinggakan 1MDB diserang seolah ia tiada langsung jasa kepada negara.
Beliau beri contoh bagaimana pembelian sekeping tanah oleh Lembaga Tabung Haji daripada 1MDB di Tun Razak Exchange (TRX) dimanipulasi oleh ‘permainan jari jemari’ media sosial sehingga mencetuskan persepsi di kalangan rakyat bahawa ia akan memberi kesan tidak baik kepada penyimpan Tabung Haji.
āBila Tabung Haji beli tanah di London, tak ada pula kecohnya, tapi bila bercakap tentang Tabung Haji nak beli tanah milik 1MDB, kecoh macam langit nak runtuh, itu adalah satu fitnah yang tersebar luas dek kerana persepsi yang dibentuk, bukan kerana surat layang, tetapi kini disebarkan oleh jari-jari manusia,Ā katanya.
Sedangkan katanya tanah TRX yang kelak akan jadi pusat kewangan lengkap dengan laluan LRT di bawahnya akan beri keuntungan besar kepada Tabung Haji jika ada bangunan di situ.
Beliau berkata demikian semasa menyerahkan surat tawaran menunaikan fardu haji 1436H/2015 kepada 1,200 orang yang terdiri daripada imam, ketua kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang ditaja oleh yayasan 1MDB di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini.
“Tetapi oleh kerana persepsi, fitnah memenangi fikiran rakyat maka satu kebaikan yang dibuat boleh menjadi sebaliknya semata-mata pembelian itu mempunyai kaitan 1MDB,” katanya.
Namun, katanya, apabila kebenaran terserlah, persepsi negatif itu turut berubah sehinggakan ramai mula mengakui pembelian tanah di lokasi strategik itu adalah baik dan menguntungkan.
“Sebab itu saya harap anda yang akan mengerjakan haji ini dapat mendoakan supaya negara dan kepimpinan negara dapat ditentukan oleh kita sendiri, bukannya oleh orang lain melalui persepsi,” katanya.
Kata Perdana Menteri, 1MDB bukan sahaja membantu para-para imam menunaikan ibadah Haji, sebaliknya syarikat pelaburan itu juga memberikan kemudahan lain kepada rakyat.
āSudah banyak kita hantar jemaah haji, kini sudah lebih 3,000 jemaah haji telah dihantar menunaikan haji, beratus juta sudah diberikan. Kenapa langsung tidak ada penilaian, seolah-olah 1MDB ini buruk.
āSelain menaja untuk menunaikan haji, 1MDB juga membantu rakyat dengan membaiki rumah-rumah yang rosak dan melaksanakan program khidmat masyarakat (CSR),” ujarnya.
Najib dalam ucapannya berkata inisiatif untuk melaksanakan program itu tercetus susulan tinjauannya mendapati masih ramai di kalangan kumpulan berkenaan tidak berpeluang mengerjakan haji, antaranya disebabkan kekangan kewangan.
Bersimpati dengan keadaan itu, beliau yang amat menghargai sumbangan kumpulan yang begitu berperanan di peringkat akar umbi itu memutuskan supaya diwujudkan satu program khas bagi menaja golongan sasar untuk menunaikan haji.
“Saya rasa hiba bila dapat tahu ada imam, ketua kampung dan JKKK yang amat berjasa ini tidak dapat menunaikan haji. Alhamdulillah setelah masuk tahun kali kelima dijalankan kita telah berjaya menghantar seramai 3,400 jemaah termasuk penerima hari ini…inilah hasrat yang ingin saya lihat dan tunaikan,” katanya.
– MYNEWSHUB.CC/HAA
Kisah kejayaan Yayasan 1MDB membolehkan ramai pemimpin masyarakat yang miskin berpeluang dapat menunaikan ibadah haji.