HULU SELANGOR – Seramai 199 pelatih Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel (Lelaki) Siri 3/2017 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Bukit Sentosa di sini, berjaya menamatkan latihan mereka hari ini.
Mereka yang mengikuti latihan asas selama enam bulan mulai Disember tahun lalu, diraikan pada majlis tamat latihan PLAK di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Kubu Bharu di sini, yang disempurnakan Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor.
Mazlan dalam ucapannya mengingatkan kesemua pelatih supaya sentiasa memelihara sahsiah diri bagi menjaga imej mereka dan dihormati masyarakat.
“Sebagai anggota, elakkan daripada terjebak dengan gejala negatif seperti jenayah rasuah, salah guna kuasa dan kelakuan tidak bermoral yang bertentangan dengan etika seorang penjawat awam serta hanya akan mencemarkan imej pasukan dan menghancurkan kerjaya anggota dalam PDRM,” katanya.
Pada majlis itu, Konstabel Muhammad Nazran Mohd Asri, 26, diumumkan sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan, sementara Konstabel Muhammad Nabil Azri Mohd Mahadi, 24, pula Pelatih Terbaik Akademik dan Konstabel Mohamad Shahrul Adli Dzulkifli, 25, sebagai Pelatih Terbaik Latihan Luar.
Mazlan turut mengucapkan tahniah kepada semua pelatih yang berjaya mengharungi latihan asas dengan semangat juang dan displin yang tinggi demi menjadi anggota polis.
“Dengan berbekalkan tenaga dan usia muda, mereka diperlukan pasukan untuk berdaya saing serta meningkatkan mutu perkhidmatan. Bukannya sekadar mengisi kekosongan jawatan dan menjadi batu loncatan dengan melakukan tugas secara sambil lewa,” katanya. – BERNAMA