KUALA LUMPUR – Dua pemanah compound negara, Mohd Juwaidi Mazuki dan Sazatul Nadhirah Zakaria, mempamerkan aksi cemerlang dengan menewaskan lawan masing-masing pada aksi separuh akhir Kejohanan Memanah Piala Asia Peringkat Pertama di Bangkok, Thailand hari ini.
Mohd Juwaidi, yang juga pemenang dua pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, menang tipis 147-145 ke atas pemanah Indonesia, Prima Wisnu Wardhana, dalam kategori lelaki pada kejohanan itu, yang berlangsung di Lapang Memanah Lembaga Sukan Thailand.
Menurut laman web Asian Archery, www.asianarchery.com, Mohd Juwaidi akan berdepan Alexander Sergeyvich Dambaev pada aksi final esok selepas pemanah Rusia itu mengalahkan rakan senegaranya, Anton Bulaev, 148-143 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Sazatul Nadhirah pula menempah tiket ke final selepas mengatasi pemanah Rusia, Mariia Vinogradova, 141-138.
Hasrat seorang lagi wakil negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh, untuk melangkah ke final tidak kesampaian selepas ditewaskan 144-148 oleh pemanah India, Muskan Kirar.
Terdahulu, pemanah recurve lelaki negara, Haziq Kamaruddin, gagal melangkah ke peringkat akhir setelah tewas 3-7 kepada wakil Perancis, Thomas Chirault pada aksi separuh akhir.
Seramai 227 pemanah dari 25 negara menyertai kejohanan lima hari itu yang bermula sejak Ahad lepas. – BERNAMA