SETIU – Meskipun pada awalnya bermula sebagai pekerja sambilan tetapi pengalaman selama 20 tahun akhirnya melayakkan anak jati Terengganu, Fakhrurazy Ramli dilantik menjadi pemasang ladam kuda rasmi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dalam acara kuda lasak atau Endurance.
Fakhrurazy, 42, tidak menyangka detik awalnya melangkah ke pasukan State of Terengganu Endurance Team (STET) empat tahun lalu mampu membawa beliau ke pelbagai kejohanan bertaraf dunia.
Bersempena acara kuda lasak yang bakal berlangsung Ahad ini di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong di sini, beliau telah dipertanggungjawabkan memantau dan memasang ladam kuda kepada mana-mana negara yang memerlukan khidmatnya.
“Suatu ketika dahulu saya bergerak secara sendirian… ia agak mencabar kerana kita perlu mencari pelanggan dan kebetulan pula tidak semua orang mempunyai kuda. Tetapi disebabkan minat yang mendalam terutama kepada kuda ini, saya tetap meneruskan kerjaya ini.
“Dahulu ayah saya mempunyai kuda, sebelum saya dilahirkan lagi… kesemua 11 orang adik-beradik kami boleh menunggang kuda tetapi tidak menjadikan perkara berkaitan kuda sebagai suatu yang boleh dijadikan sebagai kerjaya, hanya saya seorang sahaja berminat,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Fakhrurazy pernah menjuarai pertandingan ‘Farrier’ Antarabangsa di Turf Kelab Sungai Besi yang memerlukannya membuat dan memasang ladam kuda dan pernah terlibat dalam pelbagai kejohanan antarabangsa yang berlangsung di TIEP.
Beliau yang pernah menjadi tukang masak sebelum ini berkata pekerjaan tersebut sebati dengan jiwanya malah dapat merasakan keistimewaan terhadap haiwan tersebut dan menyifatkan kuda adalah haiwan yang baik hati.
“Kuda ini haiwan yang lembut, untuk pasang ladam kaki kadangkala kita kena fahami hawian ini, ada masa baik… ada masa marah, seperti manusia juga… tapi tugasan ini tidak saya anggap susah kerana sudah hampir 20 tahun saya berkecimpung dalam bidang ini.
“Dahulu saya ada kuda dan disebabkan itu saya belajar cara nak pasang ladam kuda ini… biar kita buat sendiri untuk mudah di kemudian hari… banyak bertanya pada mereka yang pakar dan berpengalaman di samping itu pergi ke kursus untuk menambah ilmu pengetahuan,” ujarnya yang teruja dengan penyertaan sulungnya di Sukan SEA.
Bapa kepada tiga orang anak ini berkata sesetengah kursus yang dihadirinya turut mengajar tentang cara bagaimana pengenalan khusus tentang kaki kuda, cara pemasangan, keselamatan ketika pasang dan macam mana nak hiburkan kuda semasa pemasangan ladam.
Tambahnya, kos untuk pemasangan ladam biasanya bermula RM180 ke atas bergantung kepada saiz kasut tersebut dan setiap sebulan sekali beliau akan ke Gambang Waterpark, Pahang untuk menukar dan memasang ladam bagi 12 ekor kuda.
Proses pemasangan ladam pada seseekor kuda mampu disiapkan dalam 45 minit jika haiwan tersebut berada dalam keadaan baik.
“Jika kuda tersebut dalam keadaan yang stres, ataupun kuda baharu kadang kala agak sukar… ada antaranya kita perlu bius dan masukkan dalam sangkar kerana tidak suka kakinya dipegang,” tambahnya. – BERNAMA