KUCHING – Dalam usaha meningkatkan pengawasan dan penyeliaan keselamatan di sepanjang perairan negara, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) akan menambah asetnya dengan membina enam buah kapal besar baharu yang boleh beroperasi melangkaui 200 batu nautika.
Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar berkata sebuah daripada kapal itu akan ditempatkan di perairan Sarawak dan Sabah.
Selebihnya pula ditempatkan di perairan Semenanjung Malaysia merangkumi kawasan persempadanan dengan Indonesia, Vietnam, Thailand serta beberapa negara jiran yang lain.
“Keselamatan kawasan perairan negara sentiasa menjadi keutamaan APMM memandangkan ia digunakan sebagai laluan utama aktiviti perdagangan (eksport dan import) antara Malaysia dan negara luar,” katanya pada sidang berita selepas melancarkan Pasukan Sukarela APMM Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah APMM Sarawak Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit.
Ahmad Puzi berkata kapal pertama itu akan dilancarkan pada Mac ini dan menyertai Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA 2017) di Langkawi manakala kapal kedua bakal dilancarkan pada Mei depan.
“Saya optimis penambahan kapal dan aset ini akan menambahkan lagi keupayaan APMM untuk memantau perairan negara secara keseluruhannya,” katanya.
Menurutnya kapal-kapal berkenaan akan dilengkapi kemudahan paling moden dan canggih termasuklah sistem teknologi ‘Unmanned Aerial Vehicle (UAV)’ yang boleh mendapatkan maklumat lebih daripada jangkauan radar kapal biasa.
Selain enam kapal besar itu, katanya, APMM juga menerima hadiah dua buah kapal masing-masing sepanjang 90 meter daripada Kerajaan Jepun dan ia akan dihantar ke Malaysia bulan depan.
Beliau berkata Jepun menghadiahkan dua kapal berkenaan kepada Malaysia sebagai timbal balas dan penghargaan sumbangan APMM kerana menjaga perairan negara yang turut menjadi laluan kapal-kapal dagang negara itu yang menjalankan aktiviti import dan eksport.
“Malah, penghargaan sama juga kita terima daripada beberapa negara lain seperti Kanada yang menyumbang dua bot laju dan Australia yang menyumbang dua kapal dan lima bot laju kepada APMM,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Puzi berkata sehingga semalam, pihaknya merampas sebanyak 960 bot dan kapal nelayan asing di seluruh kawasan perairan Malaysia.
Beliau berkata kesemua bot dan kapal itu telah dilucutkan hak dan sebahagian besar daripadanya dilelong manakala bot dan kapal yang sudah usang dilupuskan dan dijadikan tukun tiruan.
Lelongan bot rampasan itu membawa hasil kira-kira RM300 juta, katanya.
Ahmad Puzi berkata sehingga kini, APMM telah membina hampir 200 tukun tiruan bagi menggalakkan penambahan kawasan pembiakan ikan.
Selain itu, tukun tiruan itu yang dibina dengan kerjasama Jabatan Taman Laut, Jabatan Perikanan dan Jabatan Marin menyumbang kepada pertambahan aktiviti menyelam di dasar laut selain aktiviti memancing rakyat di negara ini. – BERNAMA