KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mencipta satu lagi sejarah apabila menerima sistem bantuan berteknologi setelit iaitu Cospas-Sarsat sebagai usaha meningkatkan keupayaan negara dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, penggunaan sistem itu juga akan menjadikan APMM setanding dengan Pasukan SAR negara maju yang mempunyai sistem berteknologi tinggi.
“Sistem ini menggunakan satelit untuk menjejak isyarat dan lokasi dari beacon kecemasan seperti Emergency Locator Beacon (ELT), Emergency Position Indicator Radio Beacon (EPIRB) dan Personal Locatal Beacon (PLB) yang telah siap dipasang dan diuji 30 Jan lepas dan kini telah beroperasi sepenuhnya.
“Melalui isyarat yang diperoleh, pengawasan isyarat kecemasan akan dapat dilakukan sepanjang masa dan penerimaan isyarat kecemasan didapati dalam waktu sebenar bersama maklumat yang berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Maritim Malaysia ke-10 di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di sini, hari ini.
Dalam majlis itu beliau turut merasmikan penggunaan Cospas-Sarsat dengan disaksikan Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Amdan Kurish.
Shahidan berkata, sistem yang digunakan itu berupaya mengesan sebarang kes kecemasan yang berlaku sejauh 400 batu nautika dari pantai.
Terdahulu, dalam ucapannya Shahidan berkata, penerimaan dua buah kapal daripada kerajaan Australia akhir bulan ini selain enam kapal baharu daripada kerajaan (Malaysia) bakal meningkatkan lagi keupayaan pengawasan dan penguatkuasaan maritim negara pada masa depan.
“Kita juga telah menerima dua buah bot Petir dari kerajaan Kanada dan sembilan buah bot Halilintar daripada kerajaan untuk meningkatkan keupayaan penguatkuasaan di perairan Selat Melaka dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur,” katanya.
Untuk perancangan masa hadapan katanya, Maritim Malaysia sedang memberi pertimbangan untuk mempertingkatkan aset sedia ada dengan tambahan helicopter Dolphin.
“Helicopter Dolphin sedia ada boleh terbang tiga hingga empat jam lebih…kalau kita beli yang lebih besar sikit yang ada 16 tempat duduk, ia boleh bertahan enam jam lebih.
“Kita perlukan aset tambahan ini segera, saya dah maklumkan pada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau positif tentang cadangan itu bagi meningkatkan aset sedia ada,” katanya. – BERNAMA