SERDANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melakukan penerbangan ihsan awal pagi terhadap seorang lelaki yang mengalami koyakan teruk pada dinding pembuluh darah bahagian dada hari ini ke Hospital Serdang.
Helikopter Agusta Westland 139, yang membawa Mohd Zamri Mohammad Nor, 47, itu bertolak dari Hospital Sultanah Bahiyah Alor Star, Kedah di Hospital Serdang dan tiba ke destinasi kira-kira 6.30 pagi.
Ketua Pengarah APMM Datuk Seri Zulkifili Abu Bakar berkata penerbangan ihsan itu diketuai Juruterbang Lt Kdr (M) Mohd Ikmal Ridzuan, dan dibantu Pembantu Juruterbang, Lt Kdr (M) Mohammad Zali Yusof serta kru udara BM (M) Rohaizad Ramli.
Beliau berkata pesakit diiringi Pakar Kecemasan Hospital Serdang Dr Marlina Abu Bakar serta dua penolong pegawai perubatan, Munim Ahmad Zamani dan Tuan Mohd Farid Tuan Mahmood dalam penerbangan tersebut.
“Sejak 1 Jan lepas, APMM telah melakukan dua penerbangan ihsan bagi membantu dua pesakit kritikal yang memerlukan rawatan hospital dengan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini. – BERNAMA