ÂÂ
RIYADH – Dianggarkan lebih 27,000 rakyat Indonesia bakal dihantar pulang oleh kerajaan Arab Saudi dalam beberapa minggu akan datang kerana didapati tinggal melebihi tempoh permit yang dibenarkan, menurut laman web Arab News pada Rabu.
Jumlah kali ini menunjukkan peningkatan lebih 30 peratus berbanding tahun lalu, malah beberapa agensi kerajaan Arab Saudi sedang bekerjasama dengan misi diplomatik Indonesia di Riyadh dan Jeddah untuk menghantar balik pekerja itu secara berkumpulan.
“Kebanyakan masih berada di Jeddah,” kata Ahrul Tsani Fathurrahman, jurucakap Kedutaan Indonesia dan menambah mereka yang diusir juga termasuk pembantu rumah dan kanak-kanak yang kini terkandas di beberapa bandar di seluruh Arab Saudi.
Sekitar 5,000 daripada 27,000 pekerja tersebut telah pun meninggalkan negara Asia Barat itu untuk pulang ke Indonesia dan mereka yang dihantar balik tidak lagi dibenarkan memasuki Arab Saudi menurut undang-undang baharu yang diperkenalkan kerajaan.
Bagi melancarkan urusan, Arab Saudi akan membayarkan tiket penerbangan untuk mereka yang tidak mampu pulang dan pada tahun ini, angka pekerja Indonesia yang diusir meningkat kira-kira 7,000 daripada angka tahun lalu, iaitu sekitar 20,379 orang.
Timbalan Menteri Luar Indonesia, Abdurrahman Mohammad Fachir menjelaskan: “Untuk penghantaran pulang kesemua pekerja ini, kami meletakkan keutamaan awal kumpulan pertama kepada kanak-kanak, bayi, orang tua dan mereka yang tidak sihat.â€Â
Terdapat peningkatan jumlah warga Indonesia yang tinggal melebihi tempoh visa mereka setiap tahun dan isu pendatang asing tanpa izin amat dipandang serius oleh pihak berkuasa Arab Saudi kerana bimbang dengan ancaman serius militan pelampau.
Dalam pada itu, polis di Jeddah berjaya menahan sekitar 49,000 warga asing pelbagai negara kerana melanggar undang-undang selain peraturan buruh tempatan sejak tiga bulan lalu dan mereka sudah pun diserahkan kepada pihak imigresen sebelum diusir keluar.
Dianggarkan terdapat 8.4 juta warga asing bekerja di seluruh Arab Saudi atau 30 peratus daripada keseluruhan 28 juta penduduk negara Teluk itu tahun lalu, kebanyakannya dari India sekitar 1.3 juta orang dan Bangladesh hampir sejuta orang. – Agensi