KUALA KANGSAR – Bandar Kuala Kangsar di sini seakan-akan berlangsungnya ‘pesta’ apabila menjadi tumpuan ramai terutama penduduk setempat yang mahu melihat insiden banjir yang berlaku di sekitar Arena Square yang terletak berhampiran Sungai Perak, setelah dinaiki air lebih 2 meter, semalam.
Masing-masing menggunakan telefon pintar selain kamera untuk merakamkan kejadian itu yang dianggap antara terburuk dalam sejarah Kuala Kangsar.
Laluan di tengah-tengah bandar turut sesak dengan lalu lintas pelbagai kenderaan termasuk yang diletakkan di pinggir-pinggir jalan utama.
Cakap-cakap kononnya banjir itu akan mencecah sehingga paras separuh menara jam yang terletak di tengah-tengah bandar menjadi buah mulut orang ramai yang hadir di sekitar kawasan Dataran Sungai Perak Indah di sini.
Menara jam tersebut terletak di kawasan bulatan yang menghubungkan lima laluan iaitu Jalan Kangsar, Jalan Daeng Selili, Jalan Taiping, Jalan Istana dan Jalan Shahbandar.
Ia menjadi antara mercu tanda Kuala Kangsar Bandar Diraja serta kebanggaan warga tempatan.
Para peniaga turut sibuk mengemas dan memasukkan pelbagai barangan jualan antaranya perabot, alat ganti motosikal, produk kecantikan, basikal dan perkakasan ke dalam lori untuk dipindahkan ke tempat lebih selamat.
Mereka dibantu para pekerja, anggota keluarga dan sahabat handai.
Peperiksaan akhir bagi para penuntut Kolej Komuniti Kuala Kangsar bagi semester kali ini terpaksa ditunda ke satu tarikh yang ditentukan kemudian apabila separuh daripada bangunan tiga tingkat kolej yang berada dalam deretan lot kedai di sini, telah ditenggelami banjir.
Nurliyana Ahmad Zaizi, 19, yang menuntut bidang pastri berkata sepatutnya peperiksaan akhir mereka bermula hari ini pada 9 pagi.
“Dapur kelas di bahagian bawah sudah ditenggelami banjir, habis barang-barang seperti penyejuk, oven dan bahan-bahan mentah untuk kelas ‘baking’ juga musnah, memang tak sempat nak keluarkan dari kelas,” katanya.
Pensyarahnya, Ruslina Yusoff, 33, pula berkata kesemua barang-barang yang boleh diselamatkan sedang dipindahkan ke Kolej Komuniti Chenderoh dengan bantuan para penuntut dan kakitangan.
Peniaga perabot Loh Man Mun, 60, berkata sejak beliau meniaga di pekan itu 40 tahun lepas, ada beberapa kejadian banjir yang buruk seperti pada 1967, namun kisah itu semakin dilupakan.
“Tapi, banjir kali ini ia mengingkatkan saya semula, tambahan pula apabila ada cakap-cakap air boleh naik sampai mencecah paras setengah menara jam besar,” katanya yang sibuk mengangkat barangan perabot jualannya ke dalam lori untuk dipindahkan ke kediamannya di Bukit Chandan.
Walaupun banjir belum mencecah sampai ke kedainya, beliau tidak mahu mengambil risiko kerugian yang lebih teruk dan telah meminta anggota keluarga serta sahabat handai membantunya memindahkan barangan jualan, katanya.
Sementara itu peniaga barangan kosmetik dan herba, Aziah Mat Bahak, 45, yang juga sedang memindahkan produk jualannya berkata air Sungai Perak yang terletak berhampiran lot kedainya mula naik pada 1 petang semalam.
“Dalam tempoh tidak meniaga ini memang akan rugi, tapi yang penting saya bersyukur kerana diri, keluarga dan orang ramai selamat, itu yang paling saya bersyukur. Pelanggan saya mungkin akan beli di satu lagi kedai saya, setakat ini kedai berada di kawasan selamat,” katanya.
Beliau berkata insiden banjir kali ini paling buruk.
“Kita mula pindahkan barang ke bahagian atas, yang kita jadikan stor.
Bekalan elektrik pun telah dipotong sementara sejak malam tadi,” katanya.
Kejadian banjir terburuk pernah berlaku di Kuala Kangsar pada awal tahun 1967 dan kali terakhir pada penghujung 1993. – BERNAMA