KUALA LUMPUR – Bank Rakyat menafikan institusi perbankan itu mempunyai sebarang kaitan dengan Jualan Hari Gaji Bank Rakyat seperti yang tular di media sosial.
Menerusi hebahan tersebut, orang ramai telah ditawarkan tapak untuk berniaga serta memaparkan nama individu dan nombor akaun bagi tujuan pembayaran sewa.
Sehubungan dengan itu, Bank Rakyat meminta orang ramai agar tidak terpedaya dan tidak terus berkongsi maklumat tersebut di media sosial.
“Bank Rakyat telah menjalankan siasatan dalaman dan penama akaun disahkan bukan warga kerja Bank Rakyat atau wakil yang dilantik oleh Bank Rakyat.
“Selain itu, penama akaun juga tidak didaftarkan sebagai rakan niaga Bank Rakyat dan anak syarikat,” kata Bank Rakyat dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, Bank Rakyat telah membuat laporan kepada pihak berkaitan bagi menjaga kepentingan Bank Rakyat dan pelanggannya.
Kata kenyataan itu, laporan itu juga bertujuan memastikan kredibiliti Bank Rakyat sebagai institusi kewangan Islam tidak terjejas oleh berita palsu itu.
“Orang ramai dinasihatkan untuk menghubungi saluran rasmi Bank Rakyat seperti Pusat Panggilan tele-Rakyat di talian 1-300-80-5454 jika menerima sebarang hebahan yang mencurigakan,” kata kenyataan itu. – Mynewshub.tv