Saturday, December 21, 2024

Creating liberating content

Rakyat Tahu Siapa Sokong...

IPOH - Tidak sukar untuk rakyat menilai dan mengenal pihak-pihak yang menyokong perjuangan...

ATM Rampas 123kg Daun...

ALOR SETAR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Batalion Ke-16 Rejimen Askar Melayu...

Kesavan Persoal Kesetiaan Azmin...

KOTA KINABALU - Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan yang bertanding jawatan Naib Presiden...

Jangan Jadi Barua, Khianat...

Port Dickson: Mereka disifatkan pengkhianat negara apabila dikesan aktif membawa masuk Pendatang Asing...

Bas ‘Lama’ Juga Perlu Pasang SLD – Pengusaha Bas Ekspres

KUALA LUMPUR – Pemasangan alat pengehad kelajuan (SLD) perlu diwajibkan ke atas semua bas ekspres dan tidak sepatutnya ada pengecualian bagi bas yang dibuat dan didaftarkan sebelum tahun 2015 seperti yang berlaku ketika ini.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia Che Ibrahim Che Ismail berkata pemasangan alat tersebut tidak membebankan pengusaha bas ekspres kerana ia hanya melibatkan kos antara RM800 hingga RM1,200.

“Tempoh pemasangan SLD juga hanya dua hingga tiga jam sahaja. Jadi bas lama (yang dikeluar dan didaftar sebelum 2015) pun boleh pasang. Ia bergantung kepada inisiatif syarikat pengusaha bas ekspres sekiranya mereka sanggup melabur untuk pasang alat ini.

“Bas lama bukan satu alasan, mereka perlu utamakan keselamatan penumpang. Bergantung ke arah mana mereka hendak ‘bawa’ syarikat masing-masing,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Semalam, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam kenyataan berkata bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Pagoh, Johor Sabtu lalu tidak mempunyai SLD kerana ia dibuat dan didaftarkan pada 2013, sebelum pemasangan alat itu diwajibkan bagi bas yang dibuat selepas Januari 2015.

Dalam kemalangan kira-kira 3.30 pagi itu, bas ekspres berkenaan menjunam ke dalam gaung sedalam 10 meter dan merempuh tembok konkrit sebuah terowong di Kampung Jayor di Km137.3 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara), mengorbankan 14 orang, termasuk pemandu dan anak perempuannya, serta mencederakan 16 penumpang lain.

Che Ibrahim berkata setakat ini sebanyak 15 syarikat pengusaha bas ekspres melibatkan 500 hingga 600 buah bas bernaung di bawah persatuannya dan sebahagian besar bas milik persatuan berkenaan telah dipasang SLD.

Katanya pemasangan SLD sangat membantu dalam mengawal kelajuan bas kerana pemandu bas tidak dapat membawa bas melebihi had laju yang ditetapkan.

“Alat ini dipasang di bahagian enjin bas dan berhubung dengan panel meter. Sekiranya had yang dipasang adalah 90 kilometer sejam, jadi pemandu tidak dapat ‘tekan minyak’ melebihi had laju itu, kecuali ketika turun bukit,” katanya.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sani Express Sdn Bhd (Sani Express) Abu Bakar Mohammad berkata walaupun tahap kelajuan bas ekspres sebelum ini dapat dipantau menggunakan sistem pengesanan global (GPS) yang dipasang pada bas, namun melalui GPS pengusaha bas ekspres hanya boleh menghubungi pemandu mereka untuk memberi peringatan sekiranya bas dipandu laju.

Katanya semua 37 bas ekspres milik Sani Express telah dipasang dengan SLD walaupun bas mereka dikeluarkan dan didaftar sebelum tahun 2015.

Abu Bakar berkata pemasangan SLD telah dibuat sejak tahun 2008.

“Sebelum kerajaan mewajibkan pemasangan SLD pun Sani Express sudah pasang. Pada waktu itu, ia bergantung juga kepada syarikat pengusaha bas. Ada sesetengah syarikat bas yang telah memasang SLD semasa membuat bas tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Nadzri Siron berkata pihaknya sentiasa menggalakkan pengusaha bas memasang SLD bagi memastikan pemandu mereka ‘berkelakuan baik’ mematuhi had laju.

Katanya, ia merupakan tanggungjawab pengusaha bas ekspres dengan memantau prestasi pemandu mereka demi menjamin keselamatan penumpang dan tiada lagi kemalangan jiwa melibatkan bas ekspres berlaku.

“Anda (pengusaha bas) menggaji pekerja (pemandu) jadi itu tanggungjawab anda menjaga tingkah laku pekerja. Memang kita galakkan bas yang lama untuk pasang (SLD),” katanya. – BERNAMA

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori