IPOH – Pasukan bomba mengambil masa hampir 10 jam untuk mengawal dan memadamkan sepenuhnya kebakaran yang memusnahkan tujuh kilang berasingan di Taman Menglembu Impiana Park di sini, awal pagi tadi.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh, Mohamed Hariri Ahmad Shaibi berkata pihaknya bertungkus lumus memadamkan kebakaran yang mudah merebak itu berikutan faktor material api, dipercayai bermula dari sebuah kilang kimia di kawasan perindustrian tersebut.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu kira-kira 3.54 petang semalam.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kita mendapati api sedang marak dan kebakaran besar sedang berlaku di sebuah kilang kimia yang terletak di tengah antara semua kilang terlibat sebelum ia merebak ke kilang berhampiran.
“Kita terpaksa menggunakan 12 tong buih untuk memadamkan api dari kilang itu yang hangus hingga 95 peratus,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Seramai 50 anggota dan pegawai dari BBP Pasir Puteh, Ipoh, Pekan Baru, Batu Gajah dan Pasir Pinji serta 23 anggota bomba sukarela dari BBP Pekan Baru dan Pasir Pinji dengan tujuh jentera serta dua Unit Perkhidmatan Respons Perubatan Kecemasan (EMRS) terlibat dalam operasi tersebut.
Mohamed Hariri berkata kebakaran itu turut memusnahkan antara 5 hingga 90 peratus kilang elektrikal, kilang percetakan, kilang tepung, kilang pembungkusan minuman, kilang kitar semula dan kilang besi yang terlibat.
Seorang pekerja kilang kimia tersebut yang berusia 53 tahun melecur hampir 80 peratus telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut.
Katanya tiga kenderaan yang terletak berhampiran kilang kimia itu iaitu Proton Saga BLM dan Proton Gen-2 hangus terbakar manakala sebuah Mercedes Benz terbakar 10 peratus,” katanya.
Beliau berkata punca dan jumlah kerugian akibat kebakaran tersebut masih dalam siasatan dan operasi tamat sepenuhnya 2 pagi tadi. – BERNAMA
*Video sekadar hiasan…