LUNDU – Orang ramai kini boleh berkunjung ke Taman Negara Gunung Gading bagi melihat sendiri bunga Rafflesia atau bunga pakma spesies ‘Tuan Mudae’ kembang.
Bunga terbesar di dunia itu mula kembang semalam dan dijangka berterusan hingga Jumaat ini.
Pelawat yang ingin melihat bunga itu perlu berjalan kira-kira 400 meter atau 25 minit dari pejabat taman negara tersebut sebelum sampai ke lokasi bunga pakma itu.
Peluang itu tidak disia-siakan penulis Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Sarawak Noor Bakhtiar Ahmad untuk menjadi antara pengunjung terawal melihat bunga itu kembang pada hari kedua hari ini.
Beliau bersama jurufoto Ahmad Rushdan Abdul Manan, serta wartawan Bernama News Channel (BNC) Mohd Hazreen Mubarak dan jurukamera Muhamad Salim kedua-duanya dari Kuala Lumpur dibawa oleh jurupandu arah taman negara tersebut, Edmund Gering, 27.
Peluang melihat bunga Rafflesia sentiasa memberi pengalaman berbeza kerana dalam tempoh enam hari proses bunga itu kembang, warna serta keadaan kelopaknya sentiasa berubah.
“Saya sudah tiga kali melihat bunga Rafflesia kembang pada tahun lepas dan kali ini sangat bertuah kerana dapat melihat ia kembang pada hari kedua kerana tempoh awal ini warna serta kelopak bunga itu sangat cantik,” kata Noor Bakhtiar.
Saiz bunga itu kembang kali ini adalah 60 sentimeter dan mempunyai lima kelopak yang cantik dan warnanya lebih terang.
Untuk rekod, tahun ini bunga Rafflesia Tuan Mudae telah kembang sebanyak enam kali iaitu empat kali pada Januari dan dua kali setakat bulan ini.
Taman Negara Gunung Gading meliputi kawasan seluas 4,196 hektar dan diwartakan pada 1983. – BERNAMA