KOTA BHARU – Tindakan tegas termasuk denda sehingga RM10,000 menanti individu yang didapati bersalah merokok di zon larangan merokok seperti yang diwartakan mengikut Inisiatif Kelantan Bebas Asap Rokok (IKBAR), berkuat kuasa 1 Jan lepas.
Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata perokok yang dikesan melakukan kesalahan itu berdepan tindakan kompaun RM250 dan jika ingkar kes akan dibawa ke mahkamah.
“Sebanyak 15 kawasan bebas asap rokok yang dibahagikan kepada tiga zon iaitu Zon Eksklusif IKBAR, Zon Inisiatif IKBAR dan Zon IKBAR yang mana membabitkan taman awam atau taman negeri,” katanya kepada pemberita selepas membuat pemeriksaan di sekitar Pasar Besar Siti Khadijah, di sini, hari ini.
Beliau berkata terdapat tiga kawasan bagi Zon Eksklusif IKBAR iaitu kawasan Pasar Besar Tanah Merah di jajahan Tanah Merah, Dataran Air Moleh di jajahan Pasir Mas dan Laman Tamu, Taman Tasik Krai di jajahan Kuala Krai.
“Zon Eksklusif ini bermaksud sesiapa yang merokok di kawasan terbuka atau berbumbung tetap akan dikenakan kompaun,” katanya.
Dr Ahmad Razin berkata Jabatan Kesihatan Kelantan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) telah melaksanakan ‘educational force’ di Zon IKBAR selama 6 bulan iaitu sejak Jun 2017.
Katanya sebanyak 99 operasi mendidik masyarakat telah dijalankan melibatkan 190 pegawai penguat kuasa dengan 363 notis peringatan dikeluarkan kepada induvidu berkaitan kesalahan merokok.
Sebanyak 6,000 risalah berkaitan IKBAR diedarkan kepada orang ramai manakala sebanyak 389 premis dalam Zon IKBAR telah mempamerkan Zon Larangan Merokok.
“Kita telah mengadakan penguatkuasaan sepenuhnya dan sejak 1 Jan hingga 9 Feb 2018, sebanyak 86 notis 32B telah dikeluarkan kepada mereka yang didapati merokok di zon IKBAR.
“Notis 32B merupakan kompaun yang dikenakan kepada perokok sebanyak RM250 dan jika mereka enggan menjelaskan kompaun tersebut, mereka akan di bawa ke mahkamah. Sekiranya disabitkan kesalahan mereka boleh didenda maksimum RM10,000,” katanya. – BERNAMA