DEMI terselamat daripada menjadi mangsa hutan yang terbakar di Arizona, Amerika Syarikat, seekor keldai ini memilih untuk kekal bersama-sama dengan anggota bomba yang bertugas ketika itu.
Tindakan bijak sang keldai terbabit telah mendapat perhatian ramai netizen di seluruh dunia yang percaya haiwan mamalia berkenaan sebenarnya mungkin sedang ketakutan dan mahukan perlindungan.
Perkara tersebut ternyata mengejutkan anggota serta krew dari Deserts Hill Fire Departments (DHFD) yang bertugas untuk memadamkan kebakaran seluas 7,000 ekar berdekatan dengan Lake Havasu City itu.
Keldai yang seolah-olah memahami kumpulan anggota bomba tersebut boleh membantunya dikatakan telah muncul secara tiba-tiba untuk menyelamatkan dirinya itu daripada api kebakaran.
Menurut pentadbir DHFD, terdapat banyak keldai liar tinggal di kawasan hutan berkenaan, kebanyakannya sangat ‘degil’ berpindah ke tempat selamat namun tidak bagi keldai yang muncul ini.
Tidak pasti sama ada keldai itu adalah haiwan liar mahupun diternak oleh penduduk di situ, sekiranya tiada siapa yang datang menuntut, keldai tersebut akan diberi perlindungan di American Wild Horse Sanctuary di California.
– Agensi/MYNEWSHUB.CC